PETALING JAYA: Pelakon, Ammar Alfian, menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada wanita yang mendakwa dirinya dipukul sehingga menyebabkan imejnya tercalar.
Ammar atau Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri, 39, berkata, dia tidak lagi mahu mengulas panjang mengenai perkara yang sudah berlarutan selama dua tahun itu dan memilih menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah dan peguamnya.
“Bagi saya, saya sudah menang injunksi. Perbicaraan seterusnya pada Januari, jadi kita tengok macam mana nanti.
“Dia masih cakap pasal saya secara terbuka. Jadi, dia memang melawan mahkamah. Dia rasa dia di atas undang-undang. Itu hal dia.
“Saya serahkan kepada mahkamah dan peguam saya untuk uruskan semuanya. Saya ada peguam yang bagus. Nanti dia akan tahu hal yang sebenarnya,” katanya.
Ammar berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran trailer, poster dan runut bunyi filem Orang Perang di Hextar World Empire City, di sini, hari ini.
Ammar mendakwa pelbagai fitnah dilemparkan terhadap dirinya sepanjang dua tahun sehingga ramai membuat tanggapan tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Orang cakap macam-macam dan fitnah saya dengan perkara yang mereka sendiri tak tahu. Mereka ingat mereka kenal saya, jadi saya biarkan undang-undang uruskan semuanya.
“Orang kata saya pukul dia, tetapi kes itu dapat NFA (No Further Action). Bagi saya, di situ dah jelas tak ada bukti seperti yang didakwa,” ujarnya.
Tambah pelakon filem Paskal itu, satu-satunya perkara yang diharapkannya selepas perbicaraan nanti ialah permohonan maaf secara terbuka daripada wanita terbabit.
“Itu sahaja yang saya nak daripada dia, iaitu permohonan maaf secara terbuka.
“Dua tahun saya dihina dan difitnah. Sekarang saya nak ambil pendirian dan saya tak nak lelaki macam saya terus dipijak. Saya rasa banyak sekarang lelaki pun dah beranikan diri untuk lawan perempuan-perempuan,” katanya.
Dalam pada itu, Ammar berkata, sokongan keluarga dan rakan rapat menjadi kekuatannya sepanjang berdepan kontroversi itu.
“Orang yang rapat dengan saya daripada dulu sampai sekarang memang tak pernah tinggalkan saya. Mereka kenal saya macam mana, jadi mereka tak mudah percaya apa yang diperkatakan.
“Keluarga saya, ibu bapa saya paling saya kesian ialah ibu bapa saya. Dia tak fikir ibu bapasaya, tak fikir anak saya. Disebabkan dia tak dapat cinta dia dari saya, dia reka cerita pasal saya.
Terdahulu, seorang wanita bernama Qhaisha mendedahkan beberapa foto memaparkan kecederaan pada bahagian tubuh seperti muka, mata, leher dan tangan menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Tanpa berselindung, wanita tersebut mendedahkan si pelaku dan turut memuat naik foto bersama Ammar sebagai bukti.










