AS sekat bank Turkiye, dakwa bantu transaksi IRGC

AS sekat bank Turkiye, dakwa bantu transaksi IRGC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap sebuah bank Turkiye semalam susulan dakwaan bank itu mempunyai hubungan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), ketika Washington meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Teheran.

Jabatan Perbendaharaan AS berkata, sekatan itu dikenakan ke atas Golden Global Bank dan anak syarikatnya kerana didakwa memudahkan transaksi bernilai puluhan juta dolar untuk IRGC.

Bank itu juga didakwa menyediakan Teheran akses kepada perkhidmatan perbankan koresponden yang membolehkannya memindahkan dana ke luar negara.

Golden Global Bank bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan, sambil menegaskan pihaknya tidak pernah menjalankan sebarang transaksi perbankan yang boleh menyokong dakwaan kerajaan AS itu.

Bank yang menyifatkan dirinya sebagai bank pelaburan pertama di Turkiye yang mengamalkan prinsip perbankan tanpa faedah dalam semua operasinya itu berkata, pihaknya sentiasa mematuhi semua peraturan, amalan dan keperluan pematuhan perbankan tempatan serta antarabangsa.

Tindakan terbaharu itu dibuat ketika AS berusaha mengehadkan akses Iran kepada sistem kewangan antarabangsa, selepas enam bulan konflik antara kedua-dua negara.

Minggu lalu, Washington turut mengambil langkah untuk menyekat operasi sebuah bank utama Mesir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) daripada mengakses sistem kewangan AS.

“Institusi kewangan terus menyedari dengan cara yang sukar kami serius dalam melaksanakan operasi Economic Outcast.

“Walaupun kami berharap tiada lagi bank perlu dikenakan sekatan, perkara itu bergantung kepada sejauh mana pantas masyarakat antarabangsa menyedari keadaan sebenar dan menghentikan sokongan terhadap rejim Iran yang kejam,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dalam satu kenyataan.

Bessent pada Selasa berkata, Washington berkemungkinan mengumumkan sekatan terhadap sebuah bank minggu ini dan satu lagi minggu depan, sebagai usaha untuk melumpuhkan ekonomi Teheran.

Beliau berkata demikian di luar pertemuan pemimpin kewangan Kumpulan 20 (G20) di Asheville, Carolina Utara, yang turut dimanfaatkannya untuk mendapatkan sokongan rakan kongsi bagi meningkatkan tekanan terhadap Iran.

Iran terlibat dalam perang sejak akhir Februari, selepas AS dan Israel melancarkan kempen pengeboman mengejut yang mengorbankan pemimpin tertinggi republik Islam itu.

Bessent baru-baru ini berikrar AS mengisytiharkan ‘D-Day ekonomi’ terhadap Iran, selain memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap negara yang enggan menyertai kempen berkenaan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×