Masuk hari ke-10, status 55 rakyat Malaysia kekal jadi tanda tanya

Masuk hari ke-10, status 55 rakyat Malaysia kekal jadi tanda tanya

AHLI keluarga 50 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir besar di sempadan Nepal-Tibet.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Status 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi di Nepal dan China kekal menjadi tanda tanya selepas bencana banjir yang melanda negara itu memasuki hari ke-10.

Menurut Kementerian Luar, sehingga hari ini, rekod semasa kementerian kekal seramai 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih belum dapat dihubungi.

“Untuk itu, KLN kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat mereka dan terus menyalurkan perkembangan terkini seiring dengan usaha pencarian, pengesahan dan tindakan berkaitan yang sedang dilaksanakan.

“Maklumat mengenai kes individu terus disampaikan secara langsung kepada keluarga masing-masing, manakala perkembangan yang
dimaklumkan kepada orang ramai tertumpu kepada maklumat yang telah disahkan dan boleh dikongsi secara meluas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KLN berkata, pihaknya akan terus mendapatkan pengesahan melalui saluran diplomatik dengan Kerajaan Republik Rakyat China berhubung kemungkinan pertindihan antara laporan mengenai rakyat Malaysia di Nepal dengan laporan mengenai rakyat Malaysia di Tibet, China.

“Kedutaan Besar Malaysia di Beijing kekal berhubung dengan pihak berkuasa China, manakala KLN turut berhubung dengan Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan rasmi.

“Malaysia juga telah menyatakan
kesediaan untuk menyediakan kepakaran mencari dan menyelamat yang bersesuaian sekiranya bantuan tersebut diperlukan oleh pihak berkuasa China,” katanya.

Menurut KLN, tindak balas Malaysia terhadap bencana ini diselaraskan melalui kementerian di Putrajaya, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di
New Delhi.

“Ia dengan sokongan Majlis Keselamatan Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia dan agensi-agensi berkaitan yang lain,” katanya.

Terdahulu, bencana itu berlaku pada 26 Ogos lalu di Daerah Rasuwa, Nepal berhampiran sempadan Nepal-China apabila banjir besar dan tanah runtuh melanda kawasan sepanjang Lembah Sungai Trishuli.

Bencana itu dipercayai berpunca daripada keruntuhan glasier yang mencetuskan aliran deras air, ais, batu dan lumpur.

Kawasan terjejas termasuk Rasuwagadhi yang merupakan laluan penting menghubungkan Nepal dengan Tibet dan sering digunakan pelancong serta jemaah dalam perjalanan ke Mount Kailash. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×