MANCHESTER: Polis merampas lima Lamborghini dan sebuah Mercedes G-Wagon selepas menghentikan sekumpulan kereta mewah yang menggunakan lebuh raya sebagai litar perlumbaan.
Polis Greater Manchester menerima laporan mengenai konvoi berkenaan yang memandu laju, menukar lorong secara berbahaya, memusingkan tayar dan memperlahan kenderaan sehingga 27 kilometer sejam di lebuh raya M66.
Anggota daripada Polis Pengangkutan dan Jenayah kemudian mengesan konvoi berkenaan di lebuh raya M62 dan berjaya menghentikan dua Lamborghini ketika kenderaan itu keluar dari lebuh raya. Kenderaan lain pula dihentikan di Rochdale.
Rakaman video yang dikeluarkan pihak polis menunjukkan detik Mercedes G-Wagon berkenaan dikejar polis sebelum ditahan.
Lima Lamborghini disita dan gambar yang dikeluarkan pihak berkuasa menunjukkan kenderaan berkenaan, yang berwarna terang, berbaris di tepi lebuh raya berkembar.
Sekurang-kurangnya tiga daripadanya dipercayai Lamborghini SVJ, yang berharga 360,000 pound (RM1.9 juta) ketika mula diperkenalkan. Namun, kini nilainya dianggarkan hampir 800,000 pound (RM4.3 juta).
Bagaimanapun, lima Lamborghini itu tidak akan dapat dipandu dalam masa terdekat selepas disita mengikut Seksyen 59 Akta Pembaharuan Polis 2002.
Menurut polis, pemandu kenderaan berkenaan akan didakwa atas kesalahan memandu tanpa mengambil kira keadaan pengguna jalan raya lain.
Ketua Unit Polis Pengangkutan dan Jenayah Polis Greater Manchester, Danny Kabal, berkata, pihaknya memandang serius aspek keselamatan jalan raya dan tidak akan bertolak ansur dengan pemanduan cuai, tidak bertimbang rasa, antisosial atau berbahaya.
“Pindaan terbaharu terhadap Seksyen 59 Akta Pembaharuan Polis kini membolehkan kami menyita kenderaan tanpa perlu memberikan amaran terlebih dahulu,” katanya. – AGENSI










