Bukan sekadar mengisi masa lapang, minat terhadap dunia pembuatan kek kini menjadi satu perjalanan yang membuka lembaran baharu dalam kehidupan pelakon, Shima Anuar.
Bermula hanya di dapur rumah, siapa sangka hobi yang pada awalnya dilakukan sekadar suka-suka akhirnya berkembang menjadi perniagaan yang mendapat sambutan luar biasa.
Menurut Shima, minat terhadap ‘baking’ sebenarnya bermula sekitar tahun lalu apabila dia sekadar mencuba menghasilkan kek-kek yang mudah untuk dilakukan sebelum memberanikan diri menghasilkan kek yang lebih kompleks.
“Sebenarnya saya mula ‘baking’ pada tahun lepas. Masa itu buat kek yang biasa-biasa sahaja, macam pandan layer cake, banana cake dan beberapa jenis kek ringkas. Kemudian, bila cuba buat macam-macam resipi dan semuanya menjadi, saya rasa seronok.
“Dari situ saya mula beralih kepada kek yang lebih menarik seperti kek hari jadi dan sebagainya sekitar April lalu. Sampai sekarang Alhamdulillah, masih ramai yang mencari dan membuat tempahan,” katanya kepada Pancaindera.

Lebih menarik lagi, segala kemahiran yang dimiliki hari ini bukan diperoleh melalui kelas profesional, sebaliknya hasil pembelajaran menerusi video di YouTube serta proses mencuba tanpa mengenal putus asa.
“Saya memang tidak pernah pergi ke mana-mana kelas untuk belajar buat kek. Sebenarnya saya memang suka tengok orang buat kek, tapi dulu memang pengetahuan saya kosong. Langsung tidak tahu apa-apa.
“Dulu pernah juga cuba ikut resipi, tapi semuanya tidak menjadi. Apabila saya perlahan-lahan belajar semula dan betul-betul faham caranya, barulah menjadi. Memang semuanya belajar sendiri. Kalau ada yang perlu diubah, saya akan sesuaikan sendiri,” jelasnya.

Sama seperti orang lain, pelakon berusia 35 tahun itu juga pernah gagal sebelum berjaya menghasilkan puluhan kek yang sedap, cantik dan menarik dalam satu masa.
Namun, dia tidak pernah sangka perkongsian spontannya di ruangan media sosial meraih tempahan luar biasa daripada pengikutnya sempena majlis-majlis istimewa.
“Sejujurnya, sewaktu mula buat kek itu memang sempena Hari Raya. Saya fikir orang beli untuk dibawa ke rumah terbuka atau sambutan hari jadi sahaja.
“Tapi saya langsung tidak sangka orang beli untuk makan hari-hari. Ada pelanggan yang seminggu dua atau tiga kali ulang tempahan. Sampai tahap itu sekali. Alhamdulillah, kek saya memang dapat sambutan sangat baik,” kongsinya.

Ditanya sama ada dirinya mempunyai perancangan untuk membuka kedai kek sendiri, Shima bagaimanapun memilih untuk meneruskan perniagaan kecilnya dari rumah.
“Ramai yang minta saya buka kafe. Tetapi bagi saya, semua ini saya belajar sendiri. Banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari. Mahu buka kedai bukan perkara kecil.
“Kita perlu laburkan duit, jadi harus betul-betul ada ilmu. Saya perlu fikir jangka panjang juga. Apabila sudah ada kedai nanti, kena urus pekerja dan macam-macam lagi.
“Sekarang saya seronok baking seorang diri. Tidak banyak benda yang perlu difikirkan. Jadi, buat masa ini memang belum ada perancangan untuk buka kedai,” katanya lagi.
Kini, ibu kepada tiga anak itu berjaya menghasilkan lima pilihan perisa yang menarik seperti Matcha Strawberry, Very Strawberry, Mango yang dibuat khas sempena Hari Ibu, Chocolate dan Blueberry.
Shima berkata, keseronokan menghasilkan kek-kek yang menarik membuatkan dirinya ketagih untuk mengeluarkan lagi pelbagai perisa baharu pada masa akan datang.
“Apabila kita buat sesuatu yang betul-betul kita minat, rasa seronok itu lain. Setiap kali buat dan hasilnya menjadi, baking ini macam ketagih juga sebenarnya. Rasa susah mahu berhenti.
“Saya pun bukan terus buat 20 atau 30 biji sehari. Mula daripada sedikit demi sedikit setiap hari. Lama-kelamaan kita sudah tahu cara mengurus kuantiti yang lebih banyak. Semuanya bermula dari kecil,” ujarnya.










