MBSB Bank biayai projek solar 32 loji air SADA bernilai RM78 juta - Utusan Malaysia

MBSB Bank biayai projek solar 32 loji air SADA bernilai RM78 juta

MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor (tengah) merasmikan pelancaran inisiatif tenaga solar bagi menyokong transformasi infrastruktur rawatan air Kedah kepada platform tenaga boleh diperbaharui teragih di Kuala Ketil, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menyediakan kemudahan pembiayaan patuh Syariah bernilai RM78 juta bagi menyokong pelaksanaan projek tenaga solar di 32 loji rawatan air milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) di seluruh Kedah.

Pembiayaan strategik kepada Dekad Aliran Sdn. Bhd. (Dekad Aliran) itu dijangka menyokong pemasangan sistem solar yang mampu menjana kapasiti tenaga sehingga 22 megawatt (MW) menjelang penghujung 2027.

Langkah berkenaan memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam infrastruktur awam kritikal selain memastikan kos operasi yang lebih stabil dan terkawal untuk jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata, pembiayaan tersebut membantu merapatkan jurang antara aspirasi negara ke arah penyahkarbonan dengan pelaksanaan sebenar di lapangan.

“Transaksi ini membuktikan bagaimana pembiayaan patuh Syariah mampu menjadi pemangkin kepada peralihan yang lebih mampan dalam sektor-sektor penting negara seiring sasaran 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.

Melalui projek ini, SADA berpeluang menjana tenaga bersih sendiri di loji-loji rawatan airnya, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik konvensional.

Fasa pertama projek melibatkan pelaburan RM5.77 juta di tiga loji utama iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Ketil Baru, LRA Kuala Ketil Lama dan LRA Sungai Ular.

Lebih 2,500 panel solar akan dipasang di ketiga-tiga lokasi tersebut sebagai langkah awal sebelum pelaksanaan diperluaskan ke semua fasiliti yang terlibat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Radzuan Osman berkata, kerjasama berkenaan membuka dimensi baharu kepada operasi rawatan air untuk menjana tenaga sendiri dan merancang kos tenaga jangka panjang dengan lebih baik.

“Fasa permulaan ini dijangka membawa beberapa manfaat segera, termasuk penjimatan sehingga 15 peratus dalam bil elektrik bulanan serta kestabilan kos tenaga bagi tempoh 30 tahun akan datang.

“Selain itu, ia berupaya menghasilkan kira-kira 200,000 kilowatt-jam (kWh) tenaga bersih setiap tahun tanpa memerlukan sebarang perbelanjaan modal awal daripada SADA.

“Projek ini dijangka mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sebanyak 1,100 tan metrik setahun, bersamaan kesan penanaman kira-kira 50,000 pokok setiap tahun,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengarah Dekad Aliran, He Kar Lun berkata, kemudahan pembiayaan daripada MBSB Bank memberikan sokongan kewangan bagi melaksanakan proses perolehan dan pemasangan untuk memastikan kesemua 32 lokasi siap menjelang 2027.

Inisiatif ini diklasifikasikan sebagai C1 Climate Supporting di bawah Climate Change and Principle-based Taxonomy (CCPT) sekali gus menyokong komitmen MBSB Bank untuk menggerakkan RM10 bilion pembiayaan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×