WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Khamis menuduh individu dan organisasi media yang mempersoalkan bekalan peluru AS sebagai ‘pengkhianat’ ketika mempertahankan operasi ketenteraan berterusan negara itu terhadap Iran, lapor Anadolu.
“Individu dan organisasi media yang terus mempersoalkan hakikat kita tidak mempunyai peluru… sebenarnya adalah pengkhianat,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social miliknya.
Beliau menuduh pengkritik mahu melihat AS kalah dalam perang yang didakwanya sedang ‘menang dengan mudah’, berbanding melihat beliau berjaya.
Dalam hantaran kedua, Trump menegaskan AS mempunyai ‘jumlah peluru yang hampir tidak terhad’.
Beliau berkata, AS memiliki lebih banyak peluru kelas pertengahan hingga tinggi berbanding yang boleh digunakan dalam operasi semasa atau mana-mana perang berpotensi pada masa depan, sambil mendakwa negara itu kini menghasilkan senjata pada tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini.
“Kita sedang menyimpan stok dan membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku,” katanya.
Trump turut berkata, Washington mengekalkan bekalan peluru untuk kegunaan tenteranya sendiri dan bukannya menjualnya kepada negara lain, namun penjualan senjata kepada sekutu AS akan disambung tidak lama lagi.
Beliau turut mengkritik pentadbiran bekas Presiden Joe Biden berhubung bantuan ketenteraan yang diberikan kepada Ukraine, dengan mendakwa pendahulunya membekalkan Kyiv lebih banyak peluru secara percuma berbanding jumlah yang digunakan AS dalam operasi di Iran.
“Ratusan bilion dolar diberikan kepada Ukraine dan NATO secara percuma, yang sepatutnya dibayar oleh Eropah,” kata Trump tanpa mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan itu.
Beliau berkata pentadbirannya akan menuntut bayaran balik daripada negara-negara Eropah bagi bantuan berkenaan, sambil menyatakan Washington akan meminta bayaran itu agak lewat.
Kenyataan Trump dibuat ketika sumber ketenteraan dan penggunaan peluru AS terus mendapat perhatian susulan operasi Washington di Iran.
Presiden itu berulang kali mempertahankan keupayaan ketenteraan AS, selain mengkritik laporan dan ulasan yang menurutnya menggambarkan negara itu kekurangan senjata serta peluru.










