JAKARTA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia menggesa polis menyiasat beberapa kes keracunan makanan yang dikaitkan dengan program makanan percuma Presiden Prabowo Subianto, selepas kira-kira 2,000 pelajar dan guru jatuh sakit minggu ini.
Kes keracunan itu dilaporkan berlaku dalam beberapa kejadian berasingan di sekurang-kurangnya dua pulau utama Indonesia, membabitkan pelajar dan guru yang memakan makanan tengah hari yang diagihkan kerajaan menerusi program berkenaan.
Program makanan percuma itu merupakan inisiatif utama Prabowo untuk menangani masalah kekurangan zat makanan dan dilancarkan pada 2025.
Dalam kenyataannya hari ini, suruhanjaya itu menegaskan hak mendapatkan makanan, khususnya makanan yang selamat untuk dimakan, merupakan hak asasi manusia.
“Tanpa piawaian sanitasi yang ketat, intervensi pemakanan yang dilaksanakan negara akan kehilangan legitimasi moralnya,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut menggesa polis membuka siasatan terhadap kes berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Polis Negara Indonesia masih belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.
Suruhanjaya itu turut menggesa Agensi Pemakanan Kebangsaan, yang menyelia program berkenaan, menggantung operasi dapur yang didakwa menjadi punca kes keracunan itu.
Di Tana Toraja, Sulawesi Selatan, kira-kira 170 pelajar dan guru turut jatuh sakit selepas memakan makanan percuma pada 3 September, lapor media tempatan Kompas.
Jumlah itu menyusuli lebih 1,700 kes keracunan yang dilaporkan di beberapa wilayah, termasuk Jawa Tengah, Jawa Timur dan Sumatera Barat.
Agensi yang menyelia program itu dijadual mengadakan sidang media pada Jumaat, namun menangguhkannya tanpa memberikan alasan atau menetapkan tarikh baharu.
Agensi berkenaan tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu, namun ketuanya, Sudaryono, berkata semalam kes keracunan berkenaan akan ditangani dengan serius.
Penyimpanan makanan yang tidak betul serta kelewatan penghantaran makanan yang dimasak sering menjadi antara punca keracunan makanan.
Setakat 1 September, kira-kira 50,000 individu terjejas akibat kes keracunan makanan, menurut Ahli Parlimen, Charles Honoris, pada 2 September yang memetik data jabatan kesihatan.
Hanya satu pertiga rakyat Indonesia yang ditinjau pada Julai berkata mereka berpuas hati dengan program itu, dengan kes keracunan makanan antara faktor utama yang menyebabkan ketidakpuasan hati, menurut firma tinjauan Saiful Mujani Research and Consulting.- AGENSI










