PETALING JAYA: Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) mensia-siakan kelebihan selepas terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 menentang Australia dalam aksi kelayakan Piala Asia B-20 2027 di Laos, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Harimau Muda masih gagal mencatat kemenangan selepas mengharungi dua perlawanan dalam Kumpulan H, sekali gus menyukarkan usaha negara untuk memburu kedudukan terbaik.
Malaysia bagaimanapun berdepan tugas berat sejak awal apabila Australia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Marcus Neill pada minit keempat.
Perlawanan kemudian terpaksa dihentikan lebih dua jam akibat cuaca buruk yang melanda venue sebelum kedua-dua pasukan kembali menyambung aksi.
Situasi itu tidak mematahkan semangat skuad negara apabila Malaysia tampil lebih bertenaga selepas permainan bersambung, malah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Fadhlul Hadi pada minit ke-50.
Kebangkitan Harimau Muda semakin menyerlah apabila Izzuddin Afif meledak gol kedua pada minit ke-70, menerusi rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Australia untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Namun, kemenangan yang sudah berada dalam genggaman terlepas apabila Alaat Abdul-Rahman kembali menghidupkan Australia dengan gol penyamaan pada minit ke-80 hasil rembatan menarik dari dalam kawasan penalti.
Kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat, memaksa kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Malaysia kini mengumpul dua mata selepas mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan, sekali gus perlu bangkit dalam aksi seterusnya bagi menghidupkan peluang untuk melangkah lebih jauh dalam kempen kelayakan.-UTUSAN










