Mangsa lemas kedua di Pantai Tanjung Lompat ditemukan pukul 1.53 petang - Utusan Malaysia

Mangsa lemas kedua di Pantai Tanjung Lompat ditemukan pukul 1.53 petang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Mangsa kedua daripada empat mangsa lemas di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar di sini berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 1.53 petang.

Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata, mangsa kedua tersebut telah dikenalpasti dan disahkan ahli keluarga sebagai Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16.

“Situasi semasa operasi SAR ini telah menyaksikan mangsa kedua berjaya ditemukan pada pukul 1.53 petang, selepas mangsa pertama ditemukan semalam.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di lokasi berhampiran penemuan mangsa pertama iaitu pada jarak kira-kira 800 meter,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Tambah Mohamed Shafiee, operasi SAR masih diteruskan pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti masyarakat dan nelayan tempatan.

“Kita akan kekalkan radius pencarian dua lagi mangsa pada jarak dua batu nautika. Cabaran dihadapi adalah ombak yang besar setinggi 1.5 meter,” katanya.

Difahamkan, mangsa akan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat.

Semalam, mangsa pertama yang ditemukan dikenalpasti sebagai Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, dijumpai pada pukul 1.25 petang.

Dua lagi mangsa yang masih belum ditemukan adalah Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal.

Terdahulu, keempat-empat mereka lemas ketika sedang mandi bersama beberapa rakannya yang lain di kawasan pantai berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×