KUALA TERENGGANU: Khazanah alam bukan sekadar untuk dinikmati, sebaliknya perlu dipulihara supaya hidupan liar terus mempunyai ruang untuk hidup dan generasi akan datang berpeluang menyaksikan sendiri warisan alam yang sama.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dua perkembangan istimewa membabitkan hidupan liar baru-baru ini menggambarkan kepentingan usaha memelihara khazanah alam negeri apabila ‘Raja Penyu’ iaitu penyu belimbing kembali mendarat di pantai Terengganu selepas hampir sembilan tahun manakala gajah liar jantan, Sulong Chalil, dipindahkan ke habitat yang lebih selamat.
“Ada tetamu yang kita tunggu bertahun-tahun, akhirnya pulang. Ada pula yang datang untuk kita berikan tempat yang lebih selamat,” katanya menerusi perkongsian dalam media sosialnya.
Menurutnya, penyu belimbing dipercayai mendarat dan bertelur di Pantai Gong Balai, Marang pada 1 September lalu dengan sebanyak 44 biji telur ditemukan sebelum dipindahkan dengan selamat ke pusat penetasan di Rantau Abang.
Kepulangan ‘Raja Penyu’ itu menjadi perkembangan yang cukup bermakna selepas spesies berkenaan tidak direkodkan mendarat di pantai Terengganu sejak hampir sembilan tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, Terengganu turut menerima ‘tetamu’ istimewa apabila Sulong Chalil, gajah liar jantan yang sebelum ini berkeliaran di sekitar Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dipindahkan ke Taman Negara Terengganu melalui pintu masuk Tasik Kenyir.
Pemindahan itu dilakukan bagi memastikan gajah berkenaan mendapat habitat yang lebih selamat dan sesuai, selain mengurangkan risiko konflik antara hidupan liar dengan manusia.
Ahmad Samsuri berkata, kedua-dua perkembangan itu menunjukkan Terengganu bukan sahaja memiliki keindahan alam semula jadi, malah memainkan peranan penting dalam memastikan hidupan liar terus dilindungi.
“Dua cerita ini mengingatkan kita bahawa Terengganu bukan hanya kaya dengan keindahan alamnya, tetapi turut menjadi tempat penting untuk hidupan liar terus hidup dan dilindungi.
“Semoga Raja Penyu terus kembali ke pantai kita dan Sulong Chalil pula dapat menikmati kehidupan yang lebih aman di habitat baharunya,” katanya.
Beliau berkata, alam semula jadi merupakan amanah bersama yang perlu dijaga dan dipelihara supaya khazanah berkenaan tidak hilang ditelan masa.
“Alam ini bukan milik kita seorang. Ia amanah untuk kita pelihara supaya generasi akan datang masih dapat melihat sendiri khazanah yang sama. Selamat datang dan selamat pulang ke Terengganu,” katanya. – UTUSAN









