Exchange 106 diiktiraf sebagai MD Nexus - Utusan Malaysia

Exchange 106 diiktiraf sebagai MD Nexus

EXCHANGE 106 di Tun Razak Exchange, Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia, kini diiktiraf sebagai MD Nexus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX) diiktiraf sebagai MD Nexus oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah rangka kerja Pengiktirafan Lokasi MD (MDLR), susulan kelulusan peralihan status daripada MD Cybercentre.

Ketua Pegawai Eksekutif Exchange 106, Faris Najhan Hashim berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen bangunan berkenaan terhadap ketahanan infrastruktur, keterhubungan dan kualiti perkhidmatan selaras dengan rangka kerja peringkat premis MDEC.

“Bagi Exchange 106, pengiktirafan ini menyediakan rangka kerja yang jelas untuk kami terus beroperasi dan memperkasakan ekosistem syarikat yang berpangkalan di sini.

“Keupayaan ini selari dengan bidang yang digariskan dalam Piawaian Prestasi MD Nexus MDEC, termasuk infrastruktur digital, bekalan elektrik, kerancakan persekitaran perniagaan dan cadangan nilai yang lebih baik.

“Piawaian tersebut turut merangkumi ketersediaan jalur lebar berkelajuan tinggi sekurang-kurangnya 500Mbps untuk pelanggan perniagaan dan penyewa pejabat.

“Ia termasuk liputan 4G/5G, ketersediaan perkhidmatan, bekalan elektrik berdaya tahan, keselamatan, perkhidmatan pelanggan serta sistem digital dalam premis,” katanya dalam kenyataan.

Pengiktirafan MD Nexus Exchange 106 berkuat kuasa mulai 26 Mei 2026, selaras dengan terma dan syarat, kriteria kelayakan serta Piawaian Prestasi MD Nexus MDEC.

Sebagai MD Nexus, Exchange 106 menyediakan persekitaran kondusif kepada syarikat berstatus Malaysia Digital (MD) yang beroperasi di bangunan berkenaan, selaras dengan MD Bill of Guarantees (BoGs).

BoG 1 menetapkan keperluan penyediaan infrastruktur fizikal dan maklumat bertaraf dunia kepada syarikat berstatus MD yang beroperasi di premis diiktiraf kerajaan.

Beliau berkata, Exchange 106 turut memenuhi keperluan komuniti perniagaan antarabangsa dengan kira-kira 90 peratus penghuninya terdiri daripada syarikat antarabangsa.

Katanya, syarikat perkhidmatan kewangan merangkumi 25 peratus daripada keseluruhan penyewa, manakala syarikat teknologi sebanyak 24 peratus.

“Kedua-dua sektor ini memerlukan infrastruktur digital yang teguh serta operasi bangunan yang terjamin.

“Antara penyewa Exchange 106 ialah Huawei, Digital Nasional Berhad, Electronic Arts, Access Group dan Agoda, selain institusi kewangan multinasional serta firma perkhidmatan perniagaan global yang menjadikan menara berkenaan sebagai ibu pejabat serantau dan hab perkhidmatan.

“Infrastruktur bangunan itu merangkumi rangkaian gentian optik berkembar dengan 2,158 teras, bekalan kuasa dwi-sumber, jalur lebar daripada empat penyedia serta liputan 5G daripada empat pembekal telekomunikasi,” jelasnya.

Kriteria kelayakan MDEC bagi status MD Nexus turut menilai keupayaan pihak berkepentingan, kesediaan premis dan infrastruktur, selain kerancakan persekitaran perniagaan serta cadangan nilai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×