KUALA LUMPUR: Hala tuju kerjasama politik UMNO dalam ke Kerajaan Perpaduan dan agenda Rumah Bangsa menjadi antara isu utama yang dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 minggu hadapan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua perkara itu antara usul paling banyak diterima daripada bahagian selepas dibincangkan di peringkat akar umbi.
“Dua usul paling popular yang diterima daripada bahagian-bahagian kali ini ialah soal hala tuju dan kerjasama politik UMNO khususnya dalam kerangka Kerajaan Perpaduan serta agenda Rumah Bangsa yang digagaskan pada perhimpunan lalu.
“Kita tidak pernah dan tidak akan menghalang pembahas menyuarakan perkara itu sebab mereka mewakili akar umbi dan mereka dipilih perhubungan negeri masing-masing.
“Cawangan mengangkat usul-usul ke bahagian dan proses terbabit berlangsung enam bulan lalu. Apa yang dibangkitkan bukan isu individu, tetapi suara akar umbi daripada cawangan, bahagian dan negeri,” katanya pada sidang media khas sempena PAU 2026, hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, kepimpinan UMNO tidak mengehadkan perkara yang boleh atau tidak boleh dibahaskan perwakilan kerana PAU merupakan platform untuk membawa suara akar umbi.
“Tidak wajar kepimpinan mengehadkan apa yang perlu, yang boleh dan tidak boleh,” katanya.
PAU 2026 dijadual berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 September ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Perhimpunan tahunan itu dimulakan dengan Taklimat Presiden pada 9 September, diikuti perasmian perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malam.
Perhimpunan agung ketiga-tiga pergerakan itu berlangsung pada 10 September, manakala PAU 2026 dijadualkan berlangsung selama dua hari pada 11 dan 12 September.
Seramai 6,401 perwakilan dijadual menghadiri perhimpunan itu dengan 157 bahagian mengemukakan usul untuk dibahaskan.
Asyraf Wajdi berkata, PAU menjadi wadah terbaik bagi perwakilan menilai keadaan semasa sebelum menentukan hala tuju parti.
“Biarlah mereka (perwakilan) menyuarakan dan isu-isu terkini yang berbangkit juga menjadi satu isu yang boleh menentukan apakah hala tuju yang terbaik.
“Jadi ia suara kolektif yang lazimnya diamalkan dalam sistem politik dan kemasyarakatan UMNO.
“Kita di peringkat kepimpinan tertinggi sentiasa menghormati apa juga pandangan yang disuarakan,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, kepimpinan UMNO menyerahkan kepada perwakilan untuk membahaskan secara terbuka hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk pendirian mengenai kelangsungan kerjasama berkenaan pada masa depan.
“Kita memang terbuka kepada apa juga yang akan dibahaskan dan diputuskan dalam PAU,” katanya. –UTUSAN











