Misteri pulau terapung hilang ditemukan semula

Misteri pulau terapung hilang ditemukan semula

PULAU terapung di wilayah British Columbia pertama kali dilihat oleh pengemudi bot pada pertengahan Ogos.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRITISH COLUMBIA: Sebuah pulau terapung bersaiz kecil yang dilitupi pepohonan di sebuah tasik di wilayah British Columbia, Kanada berjaya dikesan semula selepas pihak berkuasa terputus jejak dengannya yang mula ditemukan menerusi imej satelit.

Pulau berhutan itu mula disedari berada di tengah-tengah Reservoir Williston, tasik air tawar terbesar di British Columbia pada awal Ogos lalu oleh sekumpulan pengunjung bot yang sempat merakam kejadian tersebut hingga tular di media sosial.

Imej satelit bertarikh akhir Julai mengesahkan kewujudan pulau berkenaan yang berkeluasan kira-kira satu hektar. Bagaimanapun, beberapa minggu kemudian, pulau berkenaan tiba-tiba hilang dari lokasi asalnya, sekali gus mencetuskan misteri dan perhatian media antarabangsa.

Jurucakap syarikat utiliti BC Hydro milik kerajaan yang menguruskan tasik takungan tersebut, Bob Gammer mendedahkan pada awalnya beliau menyangka video yang tular itu hanyalah rekaan kecerdasan buatan (AI).

“Saya ingatkan ia tidak benar. Namun, imej satelit pasukan kami pada 21 Julai mengesahkan ia memang wujud dan terapung di tengah-tengah takungan air di kawasan utara yang terpencil,” katanya.

Namun, imej satelit seterusnya pada 5 Ogos menunjukkan pulau itu sudah tiada di lokasi asal, memicu pelbagai andaian sama ada ia telah tenggelam atau hanyut ke sudut lain.

Teka-teki berkenaan akhirnya terjawab apabila imej satelit terbaharu serta laporan daripada juruterbang yang lalu di ruang udara kawasan tersebut mengesahkan pulau berkenaan hanya hanyut ke bahagian tepi pantai.

Pulau itu ditemui tersangkut berhampiran pesisiran pantai, kira-kira 30 kilometer dari lokasi asal ia pertama kali dikesan.

Mengenai asal usulnya, pihak BC Hydro percaya pulau tersebut terbentuk secara semula jadi selama bertahun-tahun hasil pengumpulan kayu hanyut yang menjadi tapak kukuh untuk tumbuhan serta pokok membesar dan berakar.

Pulau itu dipercayai terpisah dan terasing daripada pesisir pantai pada musim panas ini susulan peningkatan paras air yang mencatat kadar tertinggi sejak 2012.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×