PETALING JAYA: Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan Malaysia kekal stabil pada Julai, disokong oleh pengukuhan pinjaman perniagaan yang menunjukkan momentum berterusan memasuki separuh kedua 2026.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata, pertumbuhan pinjaman sistem secara keseluruhan kekal stabil pada 5.6 peratus tahun ke tahun pada Julai, didorong peningkatan 7.5 peratus tahun ke tahun dalam pinjaman perniagaan, khususnya daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Menurutnya, permohonan dan kelulusan pinjaman perniagaan masing-masing melonjak 37.7 peratus dan 51.9 peratus tahun ke tahun, manakala kadar kelulusan kekal kukuh pada 65.2 peratus.
“Permintaan isi rumah pula kekal agak sederhana, dengan permohonan meningkat hanya 1.7 peratus tahun ke tahun, manakala kelulusan susut 2.6 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.
HLIB berkata, pertumbuhan pengeluaran pinjaman meningkat kepada 7.6 peratus tahun ke tahun, manakala pertumbuhan bayaran balik pinjaman menyederhana dengan ketara kepada 6.0 peratus.
Dari segi kualiti aset, katanya, sektor perbankan kekal berdaya tahan apabila nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sistem kekal pada 1.43 peratus pada Julai, untuk bulan ketiga berturut-turut.
“GIL isi rumah bertambah baik sedikit kepada 1.10 peratus, manakala GIL perniagaan kekal stabil pada 1.91 peratus.
“Ini menunjukkan tiada tanda-tanda tekanan baharu yang muncul meskipun momentum kredit perniagaan semakin kukuh,” katanya.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, purata spread kadar faedah industri mengecil secara tahunan, namun bertambah baik dari bulan ke bulan.
“Berdasarkan anggaran kami, purata perbezaan kadar faedah industri mengecil kepada 2.35 peratus berbanding 2.37 peratus setahun lalu, mencerminkan purata kadar pinjaman lebih rendah sebanyak 4.55 peratus dan kadar deposit tetap 12 bulan pada 2.20 peratus,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, perbezaan berkenaan meningkat tiga mata asas bulan ke bulan kepada 2.35 peratus pada Julai 2026 daripada 2.32 peratus pada Jun 2026, berkemungkinan disokong oleh proses penetapan semula harga aset dan liabiliti yang berterusan.
“Kami menjangkakan margin faedah bersih (NIM) kekal secara keseluruhannya stabil, memandangkan penurunan kos pembiayaan dijangka mengimbangi tekanan berterusan terhadap hasil,” katanya.
HLIB mengekalkan saranan ‘Neutral’ terhadap sektor perbankan sementara menunggu penilaian lanjut dalam laporan prestasi suku kedua tahun kalendar 2026 yang akan datang.
Menurutnya, pengumuman baru-baru ini mengenai peluasan komponen FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) boleh mewujudkan tekanan sementara terhadap saham-saham perbankan, sekali gus mengehadkan pemangkin jangka pendek untuk penilaian semula lebih tinggi.
“Dalam keadaan ini, Alliance Bank Malaysia Bhd kekal sebagai pilihan utama kami bagi 2H26, disokong prospek pendapatan yang berdaya tahan serta potensi dimasukkan ke dalam KLCI yang diperluaskan,” katanya.
Sementara itu, PublicInvest mengekalkan pendirian ‘Overweight’ terhadap sektor perbankan, didorong hasil dividen yang menarik, pertumbuhan pinjaman yang berterusan susulan pengembangan ekonomi yang stabil, kualiti aset yang kukuh serta kecairan yang mencukupi. – UTUSAN










