Kemahiran insaniah jadi tumpuan Ebright dalam era AI - Utusan Malaysia

Kemahiran insaniah jadi tumpuan Ebright dalam era AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Ebright Public Speaking Academy (Ebright) menyasarkan untuk mengembangkan operasinya kepada 30 cawangan tahun ini bersempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhannya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ebright, Kevin Khoo berkata, perkembangan itu didorong oleh peningkatan kesedaran dalam kalangan ibu bapa terhadap kepentingan kemahiran komunikasi, penguasaan Bahasa Inggeris dan pengucapan awam dalam kalangan kanak-kanak.

Ditubuhkan pada 2016, akademi tersebut kini telah mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan menerusi rangkaiannya, melibatkan bidang pendidikan, pentadbiran serta pelbagai fungsi operasi.

Kevin berkata, kelebihan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bahasa turut menjadi antara kekuatan yang perlu dimanfaatkan, terutama dalam dunia yang semakin saling berhubung.

Menurutnya, kedudukan Malaysia dalam EF English Proficiency Index 2025 yang meletakkan negara ini di tempat pertama di Asia dan ke-24 dunia dengan skor 581, mencerminkan keupayaan rakyat negara ini untuk berkomunikasi dalam persekitaran global.

“Saya melihat persekitaran berbilang bahasa di Malaysia sebagai satu kelebihan besar. Keupayaan untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa membolehkan rakyat Malaysia berhubung dengan individu daripada pelbagai budaya, pasaran dan latar belakang.

“Ini merupakan satu kemahiran yang amat bernilai, khususnya ketika dunia perniagaan semakin berkembang secara global,” katanya ketika berucap pada Malam Gala Ulang Tahun ke-10 Ebright di Tamarind Square, di sini.

Mengulas perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), Kevin berkata, kemahiran insaniah dijangka menjadi semakin penting dalam membantu generasi muda menyesuaikan diri dengan perubahan masa hadapan.

Katanya, keupayaan untuk berkomunikasi dengan jelas, menyampaikan idea secara berkesan dan berinteraksi secara autentik merupakan antara nilai manusia yang masih mempunyai peranan penting dalam era teknologi.

“Walaupun AI terus berkembang, keupayaan untuk berkomunikasi secara autentik, menyampaikan idea dengan jelas dan menunjukkan kepimpinan pemikiran akan kekal sebagai keupayaan unik manusia yang dapat membezakan generasi muda daripada rakan sebaya mereka,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman membimbing lebih 30,000 pelajar setakat ini turut memperlihatkan kepentingan membangunkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri seiring dengan kemajuan teknologi.

Menurutnya, pendidikan masa hadapan perlu mengambil kira perkembangan AI dan inovasi, namun pada masa sama tidak mengabaikan usaha membentuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, bersempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhannya, Ebright turut menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

Kevin berkata, sumbangan itu akan disalurkan bagi menyokong pelaksanaan program kerjasama bersama MAB, termasuk mewujudkan peluang menjana pendapatan dengan melibatkan golongan profesional daripada persatuan tersebut dalam program tertentu.

“Usaha ini bukan sahaja menyokong kehidupan mereka secara bermaruah, malah menghargai kemahiran dan kepakaran yang dimiliki,” katanya.

Ebright mula menjalinkan kerjasama dengan MAB pada 2023 dengan menyediakan ruang kepada pelajarnya untuk mengembangkan kemahiran pengucapan awam dan mengekspresikan diri dengan lebih yakin.

Sejak itu, pelbagai sesi pengucapan awam dianjurkan secara bulanan bagi memberi peluang kepada peserta berkongsi pengalaman, menyuarakan pandangan dan berinteraksi dengan masyarakat.

“Kami percaya setiap suara berhak untuk didengari. Usaha ini penting untuk memberi lebih ramai individu peluang membina keyakinan diri, berkongsi kisah mereka dan berinteraksi dengan masyarakat secara lebih terbuka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×