Kerajaan perlu beri jaminan LIMA kekal di Langkawi - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu beri jaminan LIMA kekal di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan perlu memberikan komitmen jelas Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) akan terus kekal di pulau berkenaan dan tidak dipindahkan ke lokasi lain pada masa hadapan.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Mohd. Omar Mustapha berkata, sebarang cadangan memindahkan penganjuran LIMA keluar dari Langkawi perlu dihentikan kerana pameran itu sudah menjadi sebahagian daripada identiti, kedudukan strategik dan ekonomi pulau tersebut sejak lebih tiga dekad lalu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa kerajaan sedang meneroka kemungkinan menganjurkan LIMA di Melaka sekiranya Langkawi dianggap tidak lagi sesuai pada masa hadapan.

“Selepas lebih tiga dekad, LIMA bukan sekadar sebuah acara yang kebetulan diadakan di Langkawi. Langkawi adalah sebahagian daripada identiti LIMA dan LIMA pula sebahagian daripada kedudukan strategik serta ekonomi Langkawi.

“Nama pameran itu sendiri membawa nama pulau ini ke seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Omar yang juga Ketua Bahagian Langkawi Parti Wawasan Negara berkata, terdapat tiga sebab utama cadangan pemindahan itu wajar dihentikan.

Beliau berkata, LIMA ialah pameran perdagangan dan strategik antarabangsa, bukannya pesta awam yang kejayaannya diukur berdasarkan jumlah pengunjung.

Katanya, nilai LIMA terletak pada pertemuan antara kerajaan, angkatan tentera, pemain industri aeroangkasa dan maritim, pembuat keputusan, pelabur serta delegasi antarabangsa.

“Sifat Langkawi sebagai sebuah pulau yang mempunyai lapangan terbang antarabangsa, ruang udara terkawal, perairan terbuka dan kemudahan pameran yang dibina khusus merupakan sebahagian daripada reka bentuk asal LIMA.

“Alasan bahawa lebih ramai rakyat boleh hadir sekiranya pameran diadakan di tanah besar tersasar daripada tujuan pameran itu diwujudkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, alasan bahawa tidak ramai mampu hadir ke Langkawi sebenarnya menggambarkan masalah akses dan perhubungan yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk diselesaikan.

Katanya, sekiranya perkhidmatan feri tidak menentu, kapasiti penerbangan tidak mencukupi atau kemudahan di pulau itu perlu dinaik taraf, kerajaan sepatutnya mengambil langkah untuk memperbaikinya.

Menurut beliau, cadangan supaya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melaksanakan kajian Koridor Perhubungan Laut Langkawi bagi tempoh 30 tahun sudah dikemukakan pada awal bulan ini sebagai penyelesaian terhadap masalah akses.

“Memindahkan LIMA kerana kelemahan infrastruktur bermakna kerajaan memilih untuk memindahkan akibat sesuatu masalah, sedangkan puncanya terus dibiarkan tanpa penyelesaian,” katanya.

Mohd. Omar berkata, LIMA merupakan aset ekonomi strategik Langkawi dan Malaysia yang dibangunkan bersama pulau itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Katanya, hotel, syarikat pengangkutan, perniagaan kecil, penyedia perkhidmatan, pekerja sektor pelancongan serta ribuan keluarga di Langkawi menerima manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada penganjurannya.

“Keupayaan tempatan yang terbina di sekeliling pameran ini tidak boleh dipindahkan sesuka hati.

“Persoalan yang wajar ditanya kerajaan ialah bagaimana nilai ekonomi LIMA boleh diperluas kepada lebih ramai penduduk Langkawi, bukannya bagaimana nilai itu boleh dipindahkan ke negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, Melaka berhak membangunkan acara maritim dan aeroangkasa bertaraf antarabangsa sendiri, namun pembangunan negeri itu tidak seharusnya mengorbankan Langkawi.

“Jika terdapat kekurangan, baiki. Jika terdapat kesesakan, tambah kapasiti. Jika rakyat sukar datang, perbaiki perhubungan.

“Jangan jadikan kegagalan menyelesaikan masalah akses Langkawi sebagai alasan untuk mengambil salah satu aset terbesarnya,” katanya.

Mohd. Omar berkata, kerajaan juga perlu mengemukakan rancangan untuk memperkukuh infrastruktur dan akses ke Langkawi, selain memperluas manfaat ekonomi LIMA kepada penduduk tempatan.

“LIMA lahir di Langkawi, membesar bersama Langkawi dan dikenali dunia dengan nama Langkawi. Ia patut kekal di tempat yang memberikannya nama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN