Bumiputera jangan tunggu projek besar untuk jadi besar - Utusan Malaysia

Bumiputera jangan tunggu projek besar untuk jadi besar

Dalam industri solar, teknologi dan penskalaan, perubahan sebenar berlaku apabila sesebuah syarikat berhenti berfikir seperti kontraktor kecil dan mula beroperasi sebagai sebuah platform industri. – Gambar hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 27 Ogos lalu usahawan-usahawan bumiputera telah berkumpul di Alor Setar, Kedah sempena Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Antara tajuk yang dibincangkan adalah penyertaan, pemilikan dan penguasaan – “Ke Mana Arah Bumiputera 2035” yang dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Dr. Mahzan Teh dengan saya sebagai salah seorang ahli panel selain Datuk Hafsah Hashim, Ketua Kluster Daya Saing Perusahaan Bumiputera PuTERA35 serta Ketua Pegawai Eksekutif Kiddocare, Nadira Mohd. Yusoff.

Forum ini bermatlamat membedah pelan tindakan PuTERA35 secara tuntas. Mesej utama untuk melonjakkan usahawan Bumiputera ke tahap lebih tinggi termasuk melonjakkan daya saing perniagaan.

Saya berpandangan perspektif atau definisi lonjakan ini perlu diubah kerana sudah terlalu lama kejayaan syarikat Bumiputera diukur berdasarkan berapa banyak projek berjaya diperoleh dan bukannya sejauh mana keupayaan syarikat itu membina kapasiti untuk bersaing.

Apabila mendapat kontrak besar, ia diraikan sebagai kejayaan. Tetapi persoalan yang lebih penting jarang ditanya adakah syarikat itu benar-benar sudah bersedia untuk menjadi pemain industri atau sekadar mendapat satu projek besar secara kebetulan?

Inilah turning point yang sering terlepas pandang. Dalam industri solar, teknologi dan penskalaan, perubahan sebenar berlaku apabila sesebuah syarikat berhenti berfikir seperti kontraktor kecil dan mula beroperasi sebagai sebuah platform industri.

Maksudnya, jangan hanya sibuk mencari projek. Bina organisasi yang mempunyai kemampuan untuk mengendalikan projek yang semakin besar, berulang dan kompleks. Itulah perbezaan antara syarikat yang mahu terus hidup dengan syarikat yang mahu berkembang.

Jangan sekadar jual projek
Ramai usahawan Bumiputera mempunyai kepakaran teknikal. Mereka tahu melaksanakan kerja, mempunyai tenaga kerja dan mampu menyiapkan projek dengan baik. Tetapi keupayaan melaksanakan projek bernilai RM1 juta tidak secara automatik menjadikan syarikat bersedia untuk projek RM30 juta, RM50 juta atau RM100 juta. Skala memerlukan sistem yang berbeza.

Syarikat perlu mempunyai teknologi dan sistem reka bentuk sendiri, pasukan Engineering, Procurement, Construction and Commissioning (EPCC) yang kukuh, keupayaan procurement berskala besar, pengurusan kewangan yang profesional serta sistem pengurusan projek yang mampu mengawal risiko. Lebih penting, syarikat perlu mempunyai rekod prestasi yang boleh meyakinkan bank.

Di sinilah ramai yang tersangkut. Mereka mempunyai kemahiran tetapi tidak mempunyai ‘bankability’. Mereka boleh buat kerja tetapi belum tentu mampu meyakinkan institusi kewangan untuk memberikan pembiayaan bagi projek bernilai puluhan juta ringgit.

Hakikatnya, projek besar tidak akan datang hanya kerana syarikat mahu menjadi besar. Syarikat perlu terlebih dahulu membuktikan ia mampu mengurus projek besar.

Teknologi bukan lagi pilihan
Dalam industri solar yang semakin kompetitif, bergantung kepada tenaga kerja murah bukan strategi untuk jangka panjang. Syarikat Bumiputera perlu berani menggunakan teknologi sebagai pengganda produktiviti.

AI dalam reka bentuk solar, penggunaan drone untuk pemeriksaan tapak dan panel, digital project management, pemantauan tenaga masa nyata, BESS dan predictive maintenance bukan lagi teknologi masa depan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada ekosistem industri yang sedang berkembang.

Dengan pendigitalan, sebuah syarikat dengan 50 pekerja berpotensi mengurus jumlah kerja yang sebelum ini memerlukan 100 pekerja. Itulah kuasa teknologi. Kos operasi dapat dikawal, produktiviti meningkat dan projek dapat diurus dengan lebih cekap.

Jika syarikat besar mampu menggunakan teknologi untuk menurunkan kos dan meningkatkan kecekapan, syarikat Bumiputera juga tidak boleh terus menggunakan alasan “kami syarikat kecil”.

Syarikat kecil tidak semestinya perlu kekal kecil. Yang diperlukan adalah keberanian untuk membina sistem yang membolehkan syarikat berkembang.

Modal bukan masalah utama?
Di atas kertas, Malaysia tidak ketandusan skim pembiayaan untuk PKS dan syarikat Bumiputera. Pelbagai dana, kemudahan pembiayaan dan program penskalaan diperkenalkan kerajaan dari semasa ke semasa.

Namun, masih ada persoalan besar mengapa sebahagian syarikat Bumiputera gagal melonjak walaupun pembiayaan tersedia? Jawapannya, mungkin bukan semata-mata kekurangan wang.

Masalah lebih besar adalah growth capital dan bankability. Ramai usahawan boleh membina syarikat daripada RM1 juta kepada RM5 juta.Tetapi apabila mahu bergerak kepada RM20 juta, RM50 juta atau RM100 juta, permainan sudah berubah.

Mereka memerlukan modal kerja yang lebih besar, sistem tadbir urus yang lebih kukuh, pengurusan risiko, teknologi, tenaga pakar dan keyakinan institusi kewangan.

Di sinilah konsep bankability menjadi sangat penting. Bank bukan hanya mahu tahu sama ada syarikat boleh memasang panel solar. Bank mahu tahu sama ada syarikat mampu mengurus projek, mengawal kos, memenuhi jadual, mengurus aliran tunai dan memastikan hutang boleh dibayar balik.

Dengan kata lain, bank bukan sekadar membiayai projek. Bank membiayai keyakinan terhadap keupayaan syarikat. Berhenti menunggu bantuan.

Justeru, sudah tiba masanya pendekatan terhadap pembangunan syarikat Bumiputera diubah. Jangan hanya bertanya berapa banyak kontrak boleh diberikan kepada mereka. Sebaliknya, tanya apakah perlu dilakukan supaya syarikat itu mampu berdiri sendiri dan bersaing secara terbuka.

Kerajaan boleh menyediakan dana. Institusi kewangan boleh menyediakan pembiayaan. Industri boleh menyediakan peluang. Tetapi akhirnya syarikat itu sendiri perlu membina keupayaan.

Formula pertumbuhan sebenarnya tidak terlalu rumit:
Keupayaan teknikal- → projek besar -rekod prestasi- → bankability – modal – teknologi →- procurement scale – projek lebih besar- pendapatan berulang- pemain industri.

Masalahnya, ramai yang mahu melompat terus kepada projek besar tanpa membina asas. Mahu kontrak RM50 juta tetapi sistem kewangan masih seperti syarikat RM5 juta. Mahu mengurus projek berskala besar tetapi tenaga pakar tidak mencukupi. Mahu mendapatkan pembiayaan besar tetapi rekod kewangan dan tadbir urus belum meyakinkan.

Ini bukan masalah peluang. Ini masalah kesediaan. Berani bina sebelum diperlukan Akhirnya, turning point sebenar bukan ketika surat anugerah projek besar diterima.

Turning point berlaku lebih awal ketika pemilik syarikat membuat keputusan untuk melabur dalam manusia, teknologi, sistem, modal dan kepakaran walaupun pulangan belum kelihatan. Itu memerlukan keberanian.

Syarikat Bumiputera yang mahu keluar daripada kelompok pemain kecil perlu berhenti membina perniagaan semata-mata untuk mendapatkan projek. Sebaliknya, mereka perlu membina organisasi yang layak diberikan projek besar.

Projek besar diberikan kepada syarikat yang mampu meyakinkan pasaran bahawa mereka mempunyai kapasiti untuk menanggung risikonya. Jangan tunggu projek besar untuk menjadi besar. Bina kapasiti sehingga projek besar tidak lagi kelihatan terlalu besar untuk kita. Itulah turning point yang sebenar.

Datuk Ir Guntor Tobeng ialah Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. iaitu syarikat bumiputera peneraju dalam industri tenaga boleh baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN