Harnizam ada Pelan B jika Azizulhasni bersara awal

Harnizam ada Pelan B jika Azizulhasni bersara awal

Azizulhasni Awang masih belum memberi kata putus sama ada menyertai Sukan Asia atau sebaliknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berharap Datuk Azizulhasni Awang kekal bersama skuad kebangsaan, namun pada masa sama sudah bersedia dengan pelan kedua sekiranya jaguh berbasikal trek itu memilih untuk menamatkan kariernya.

Buat masa ini, nama pelumba berusia 38 tahun itu masih berada dalam perancangan skuad negara dan dijangka menyertai kem latihan terakhir di Brisbane sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya.

“Setakat perancangan sekarang, dia akan pergi dan tiketnya juga sudah ditempah, tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku akhirnya,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan Asia di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, semalam.

Masa depan Azizulhasni menjadi tanda tanya selepas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu menyatakan kesediaan meneruskan pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028, namun mahu kepastian daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai keperluan terhadap khidmatnya dalam skuad kebangsaan.

Azizulhasni sebelum ini menegaskan persoalan utama bukan lagi sekadar sama ada dia mahu meneruskan karier, sebaliknya kerajaan juga perlu menentukan sama ada kehadirannya masih diperlukan dalam misi Olimpik negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, minggu lalu pula berkata keputusan mengenai kedudukan Azizulhasni akan dibuat selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya dengan mengambil kira keperluan operasi lebih menyeluruh selain aspek sokongan kewangan.

Taufiq turut mengesahkan surat tawaran rasmi Program Road to Gold (RTG) masih belum diberikan kepada Azizulhasni, walaupun perbincangan antara kedua-dua pihak dikatakan berlangsung secara positif.

Namun bagi Harnizam, persiapan skuad tidak boleh terjejas dengan ketidakpastian berkenaan apabila Muhammad Shah Firdaus Sahrom sudah bersedia mengambil alih tugas sekiranya Azizulhasni tidak dapat bersama pasukan.

Menurut beliau kehadiran Azizulhasni amat diperlukan kerana pengalaman jaguh berkenaan masih penting, khususnya untuk membantu membimbing pelumba muda yang sedang membina karier di peringkat antarabangsa.

“Apa sahaja yang diperlukan skuad, Shah sudah tentu boleh mengambil tempatnya, tetapi setakat ini saya belum mendengar apa-apa perkembangan, jadi semuanya masih baik.

“Ya, sudah tentu kami mahukannya kerana dia boleh membimbing pelumba muda, kami mahu dia dalam pasukan, tetapi pada masa sama dia ada masalahnya sendiri dan kami juga tidak tahu apa perkembangannya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×