KUALA LUMPUR: Penyanyi, Layla Sania, mengakui imej bertudung yang dikenakannya menyebabkan beberapa video nyanyiannya tidak dibenarkan untuk dimuat naik di aplikasi media sosial China, Douyin.
Mengulas lanjut, Layla, 24, berkata dia terpaksa mencari alternatif lain untuk menutup aurat, termasuk memakai turban, topi dan hoodie bagi membolehkan video nyanyiannya diterbitkan di platform berkenaan.
“Ada cabaran untuk Douyin, iaitu macam TikTok China. Kadang-kadang saya tak boleh ‘posting’ kerana saya pakai tudung. Sedangkan saya tidaklah bertudung litup, nampak sedikit berfesyen tetapi tetap tidak lepas.
“Kalau pakai hoodie dengan topi, okey, itu lepas. Turban macam ini pun lepas, tetapi kalau tudung penuh kadang-kadang tak lepas.
“Setakat ini, Douyin saja yang saya ada masalah untuk ‘posting’. Media sosial China lain seperti Weibo tiada masalah,” katanya.
Layla ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Layla berkata dia kini sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak Douyin selain mengemukakan beberapa laporan berhubung masalah berkenaan.
“Saya rasa mungkin ada ‘glitch’ pada AI (kecerdasan buatan) mereka sebab akan keluar ‘racial sensitivity’, sedangkan lagu yang saya nyanyikan tiada kena-mengena dengan perkauman.
“Kalau empat video, mungkin satu atau dua video tak lepas. Sekarang saya dalam proses menghubungi pihak Douyin. Terkilan sebab banyak video yang saya sangat teruja untuk kongsi tetapi tak lepas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Layla yang tercalon dalam kategori Selebriti Mandarin Terhangat mengakui terkejut dan berbangga apabila namanya tersenarai dalam kelompok 10 calon terbaik.
“Semua yang tercalon dalam kategori itu adalah kawan-kawan saya. Kejap, saya nak mesej mereka, entah-entah mereka pun tak tahu mereka tercalon.
“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang. Wajah saya ada dalam pencalonan itu pun sudah cukup membuatkan saya gembira.
“Saya bersyukur AMT ada kategori baharu supaya kita dapat melihat lebih banyak inklusiviti. Saya bangga tercalon bersama mereka,” katanya.
AMT 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan platform penstriman Tonton pada 18 Oktober ini, jam 9 malam. -UTUSAN










