Malaysia tidak lindungi kumpulan pemisah Selatan Thailand

Malaysia tidak lindungi kumpulan pemisah Selatan Thailand

MOHAMED Khaled Nordin dan Malek Razak Sulaiman (empat, kiri) mengibarkan Jalur Gemilang bersama warga Kementerian Pertahanan pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia ti­dak melindungi kumpulan pe­misah yang mencetuskan konflik di Selatan Thailand.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, Malaysia tidak akan membenarkan negara ini menjadi tempat perlindu­ngan, persembunyian terma­suk dijadikan tempat merancang tindakan oleh kumpulan terbabit yang menolak proses damai di wilayah berkenaan.

Sebaliknya kata beliau, Ma­laysia akan bekerjasama de­ngan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan perkara ter­sebut tidak berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan membenarkan wilayah negara ini dijadikan tempat perlin­dungan atau persembunyian oleh mana-mana pihak yang menggunakan kekerasan serta menolak proses perdamaian di selatan Thailand.

“Kita tidak akan membenarkan mana-mana pihak men­jadikan Malaysia sebagai tem­pat merancang sebarang tin­dakan atau bersembunyi.

“Seperti yang telah saya katakan, Malaysia kekal komited dalam menyokong usaha perdamaian di selatan Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan, semalam.

ADS:D

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Menurut Mohamed Khaled, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memperketat kawalan dan pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand susulan perkembangan serta insiden yang berlaku di selatan Thailand.

Katanya, langkah itu bagi menghalang sebarang pergerakan yang boleh menjejaskan keselamatan negara selain meng­elakkan insiden berkenaan me­rebak sehingga tidak dapat dikawal.

“Unit sempadan melakukan kawalan di pintu keluar masuk rasmi, manakala kawasan hutan di sepanjang sempadan dijaga oleh ATM.

“Kita akan memastikan tiada anasir yang menyusup masuk kerana semua pergerakan keluar masuk Malaysia mesti dilakukan melalui pintu sempadan yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memberikan perhatian serius terhadap perkembangan dan insiden di selatan Thailand yang turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet kelmarin.

Katanya, Malaysia kekal ko­mited mendukung usaha membawa perdamaian di wilayah berkenaan termasuk menerusi peranan sebagai fasilitator proses perdamaian.

“Beberapa nama daripada ATM telah dikemukakan untuk pertimbangan Perdana Menteri bagi dilantik sebagai fasilitator baharu susulan tamatnya tempoh perkhidmatan Datuk Mohd. Rabin Basir sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand terdahulu.

“Kita berharap fasilitator baharu dapat dilantik supaya Malaysia boleh membantu semua pihak dalam usaha membawa perdamaian di selatan Thailand.

“Kita tahu perkara ini bukan tugas yang mudah kerana terdapat pelbagai kumpulan dan pihak yang perlu dibawa bersama sekiranya mahu memastikan perdamaian dapat dicapai,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, insiden keganasan dan letupan bom di 51 lokasi di selatan Thailand Sabtu lalu menyebabkan penduduk ketakutan dan lebih berwaspada.

Majoriti mereka memilih un­­tuk berkurung di rumah ter­utama pada waktu malam kerana serangan seterusnya boleh berlaku pada bila-bila masa.

Serangan bermula sekitar pukul 8 malam merangkumi pengeboman, pembakaran pe­jabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar, selain turut mencederakan orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN