KOTA BHARU: Seorang tukang cuci warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM1,400 kepada seorang anggota polis bagi mengelakkan tindakan diambil terhadapnya dan rakannya pada April lalu.
Tertuduh Thu Zar Myint, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan wang tunai berjumlah RM1,400 kepada anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, pada April lalu.
Pemberian wang itu didakwa sebagai dorongan supaya anggota berkenaan tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang disyaki tidak memiliki dokumen diri yang sah, selain terhadap rakannya yang tidak mempunyai cop kemasukan ke Malaysia.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan, manakala tertuduh diwakili peguam, Shastidaran Sathaiseelan.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes disebut semula pada 13 September ini.-UTUSAN











