TransNusa lancar laluan terus KL-Bandar Lampung - Utusan Malaysia

TransNusa lancar laluan terus KL-Bandar Lampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan TransNusa melakar sejarah dengan memulakan perkhidmatan penerbangan terus antarabangsa pertama yang menghubungkan Bandar Lampung, Indonesia dan Kuala Lumpur.

Laluan baharu harian yang beroperasi menerusi penerbangan 8B 661 dan 8B 662 itu mengurangkan separuh masa perjalanan dengan membolehkan penumpang terbang terus tanpa perlu melalui hab transit di Jakarta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis berkata, pelancaran laluan tersebut membuka lembaran baharu dalam perluasan rangkaian serantau syarikat penerbangan berkenaan di samping memudahkan akses pelancongan dan ekonomi antara kedua-dua destinasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini merupakan usaha pembangunan laluan inovatif yang dirancang untuk menghubungkan terus dua destinasi yang sebelum ini tiada penerbangan langsung.

“Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan akses, malah membuka lebih banyak peluang untuk rakyat Malaysia meneroka pengalaman baharu serta mengeratkan hubungan ekonomi dan pelancongan antara Kuala Lumpur dan Lampung,” katanya dalam kenyataan.

Penerbangan harian dari Lapangan Terbang Radin Inten II (TKG) berlepas pada jam 11:40 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2:25 petang, manakala penerbangan berlepas dari KLIA pada 3:00 petang dan tiba di Bandar Lampung pada 3:45 petang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, perkhidmatan baharu itu memperluaskan jaringan perhubungan udara antarabangsa melangkaui bandar-bandar utama di Indonesia.

“Indonesia kekal sebagai pasaran penting bagi KLIA. Kami mengalu-alukan pembukaan laluan ini yang memberi lebih banyak pilihan perjalanan terus kepada pelancong dari kedua-dua negara,” katanya.

Lampung yang terletak di bahagian selatan Sumatera menawarkan pelbagai tarikan ekopelancongan dan pengembaraan semula jadi termasuk melihat ikan lumba-lumba liar di Teluk Kiluan, pusat perlindungan Gajah Sumatera di Taman Negara Way Kambas, landskap gunung berapi Anak Krakatau serta lokasi luncur ombak di Krui.

Tambang promosi sehala bagi laluan berkenaan ditawarkan bermula daripada RM399. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini