PETALING JAYA: Penyanyi, Azeva, tidak menghalang sekiranya ibunya yang juga penerbit, Datuk A. Aida, benar-benar mahu menamatkan zaman solo susulan tular gambar cek hantaran bernilai RM10 juta baru-baru ini.
Azeeva atau Wan Azeeva Natassha Wan Aminuddin, bagaimanapun, enggan mengesahkan perkara itu, namun berharap sekiranya spekulasi berkenaan benar, lelaki berkenaan mampu menjaga kebajikan ibunya.
“Kalau benar ada hantaran RM10 juta untuk mama, saya okey sahaja. Cuma kena tanya mama sendiri untuk mengesahkan spekulasi yang diperkatakan baru-baru ini.
“Kalau mahu tanya pendapat saya mengenai calon suami mama, saya perlu kaji dahulu lelaki itu. Asalkan dia mampu menjaga mama, tidak menyusahkan dan bukan biawak hidup, saya okey.
“Jangan tiba-tiba mahu berkahwin, kemudian lelaki itu tidak mahu bekerja dan hanya bergantung kepada mama. Memang tidaklah,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tambah pengacara program Big Stage Rocketfuel itu, dia tidak berahsia dengan ibunya, malah sering memeriksa mesej yang mencurigakan di telefon wanita berkenaan.
“Saya memang pantau dan semak telefon mama. Dia pun tahu saya suka tengok telefon selain memaklumkan kepadanya bahawa saya ingat semua kata laluan. Bukan masalah pun bagi dia.
“Jadi, kalau tiba-tiba tergerak hati, saya akan semak mesej mama. Saya cuma mahu berjaga-jaga. Lepas itu saya akan tanya, ‘Siapa ini, mama? Apa ini?’” katanya.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan bagi memastikan ibunya tidak mudah terpedaya dengan janji manis lelaki.
“Banyak kali lelaki dekati mama macam itu. Mereka mahukan ekonomi yang stabil. Sebab itu saya kena tegas sedikit dengan mama.
“Saya tahu mama sunyi. Sudah lama dia bangun tidur seorang, hidup seorang dan makan seorang.
“Kalau dia mahu berkahwin, saya gembira sangat,” katanya.











