KUALA LUMPUR: Kumpulan CIMB menerusi CIMB Islamic Bank Berhad berjaya melengkapkan projek rintis melibatkan penerbitan bernilai RM1.68 bilion bagi menguji penyelesaian sukuk bertoken menggunakan deposit bertoken dalam persekitaran terkawal.
Ia merupakan projek rintis di bawah Program Sukuk Wakalah Senior CIMB Islamic Bank Berhad sedia ada bernilai RM10 bilion dengan tempoh matang antara lima hingga 15 tahun.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, projek rintis berkenaan menunjukkan bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam kewangan Islam dan pasaran modal ketika infrastruktur kewangan semakin beralih kepada teknologi digital.
“Malaysia telah membangunkan keupayaan kukuh dalam kewangan Islam dan pasaran modal. Langkah seterusnya adalah memastikan kekuatan ini terus berkembang seiring perubahan teknologi dan cara transaksi kewangan dilaksanakan.
“Projek rintis ini penting kerana ia membawa tokenisasi melangkaui teori dan menguji bagaimana aset kewangan digital serta wang bank perdagangan boleh beroperasi bersama dalam persekitaran terkawal.
“Objektifnya bukan sekadar pendigitalan, sebaliknya untuk meneroka sama ada teknologi boleh menjadikan pasaran kewangan lebih cekap, telus dan saling berhubung, sambil mengekalkan standard kukuh dari segi tadbir urus, perlindungan pelabur dan pematuhan syariah.
“Kerjasama erat antara pengawal selia dan sektor swasta akan terus penting ketika kita membangunkan keupayaan ini secara bertanggungjawab serta menentukan bidang yang mampu mewujudkan nilai sebenar kepada sistem kewangan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyelesaian Deposit Tokenisasi CIMB Bagi Tokenisasi Sukuk Pertama di Malaysia di sini hari ini.
Daripada jumlah penerbitan itu, RM1.38 bilion diterbitkan dalam bentuk bertoken dan dilanggan oleh 12 pelabur institusi, manakala baki RM300 juta diterbitkan dalam bentuk sukuk tradisional.
Tokenisasi membolehkan aset kewangan konvensional seperti sukuk diwakili secara digital menggunakan teknologi lejar teragih.
Apabila digabungkan dengan deposit bertoken, teknologi itu berpotensi mengautomasikan penyelesaian transaksi, mengurangkan kelewatan, memperkemas pengurusan kecairan serta meningkatkan kecekapan pergerakan dana.
Projek rintis itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada penyertaan CIMB dalam Digital Asset Innovation Hub (DAIH) Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyediakan persekitaran terkawal kepada institusi kewangan untuk menguji aplikasi aset digital baharu.
CIMB turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam pembangunan produk pasaran modal bertoken, manakala lapisan tokenisasi berkenaan tidak mengubah struktur ekonomi atau Syariah asas sukuk itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, projek rintis itu memberikan CIMB dan pengawal selia gambaran praktikal mengenai keperluan operasi, perundangan serta kawal selia berkaitan transaksi kewangan bertoken.
“Projek rintis ini membolehkan kami menguji bagaimana aset kewangan bertoken boleh beroperasi bersama infrastruktur pasaran sedia ada dan, yang penting, bagaimana deposit bertoken boleh digunakan untuk tujuan penyelesaian.
“Manfaat yang berpotensi adalah bersifat praktikal. Automasi lebih meluas dan penyelesaian lebih pantas boleh mengurangkan geseran dalam transaksi kewangan, meningkatkan pengurusan kecairan serta kecekapan modal,” ujarnya. – UTUSAN











