HLB catat untung bersih RM4.53 bilion bagi tahun kewangan 2026 - Utusan Malaysia

HLB catat untung bersih RM4.53 bilion bagi tahun kewangan 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 6.0 peratus kepada RM4.53 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi positif itu disokong oleh pertumbuhan pendapatan merentas segmen utama, pengurusan kos strategik serta kualiti aset yang mampan.

Sejajar dengan prestasi kewangan berkenaan, Lembaga Pengarah HLB mengumumkan dividen akhir yang lebih tinggi iaitu 80 sen sesaham, sekali gus membawa jumlah keseluruhan dividen bagi FY2026 kepada RM1.10 sesaham.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, bank menutup FY2026 dengan prestasi kewangan yang kukuh berikutan pelaksanaan Pelan Transformasi 3-5 Tahun yang berkesan.

“Jumlah pinjaman dan pembiayaan kasar mencatatkan pertumbuhan teguh 7.7 peratus setahun kepada RM226.3 bilion, didorong oleh perluasan dalam segmen utama termasuk pinjaman perumahan, kenderaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sambil mengekalkan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) yang rendah pada 0.57 peratus.

“Fokus kami kekal untuk menyediakan penyelesaian perbankan berteraskan pelanggan serta memastikan akses pembiayaan berterusan untuk isi rumah dan PKS,” katanya dalam kenyataan.

Jumlah pendapatan HLB bagi FY2026 meningkat 4.6 peratus kepada RM6.69 bilion, manakala margin faedah bersih (NIM) diurus secara berhemah pada paras 1.84 peratus.

Pendapatan bukan faedah pula melonjak 9.3 peratus hasil peningkatan perniagaan pengurusan kekayaan dan jualan francais pasaran global.

Bagi akaun simpanan dan akaun semasa (CASA), deposit berkembang 11.3 peratus kepada RM87.4 bilion, sekali gus meningkatkan nisbah CASA kepada 34.7 peratus. 

Keuntungan sebelum cukai pula berada pada RM5.48 bilion, naik 2.2 peratus berbanding tahun lalu.

Mengulas mengenai prospek, Kevin berkata, ekonomi Malaysia dijangka kekal mampan dan berkembang pada kadar 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi 2026, disokong oleh penggunaan domestik dan eksport berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini