PETALING JAYA: Keyfield International Berhad (Keyfield) mengambilalihan Inai Kenanga, sebuah kapal korek sedutan seret corong mega (TSHD) bernilai AS$24.7 juta atau kira-kira RM99.7 juta daripada Inai Rimba Sdn. Bhd.
Seiring dengan pengambilalihan tersebut, Keyfield turut mengumumkan pemeteraian perjanjian pemegang saham dengan Star Naval 1 Pte Ltd (SNPL), sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh Starhigh Asia Pacific Pte Ltd (Starhigh) dan Naval Elite Limited.
Perjanjian tersebut meletakkan asas bagi sebuah syarikat tujuan khas (SPV), yang akhirnya akan dimiliki pada nisbah 60:40 oleh Keyfield dan SNPL.
SPV tersebut akan memiliki dan mengendalikan Inai Kenanga, membolehkan Keyfield dan Starhigh memanfaatkan kekuatan gabungan masing-masing untuk berjaya mendapatkan dan melaksanakan projek-projek pengorekan pada masa hadapan.
Keyfield akan membiayai AS$23.8 juta (RM95.8 juta) bagi pembelian Inai Kenanga, manakala SNPL akan membiayai AS$0.9 juta (RM3.6 juta) serta kos pengaktifan semula Inai Kenanga yang dianggarkan sebanyak AS$15.0 juta (RM60.4 juta).
Starhigh, yang diasaskan pada 2006 merupakan pemain serantau yang berpangkalan di Singapura dalam industri pengorekan dan pembekalan pasir, dengan projek di Singapura,
Kemboja dan Semenanjung Malaysia, di samping aktif meneroka peluang pengembangan di Malaysia Timur, Vietnam dan Taiwan.
Antara projek pentingnya termasuk peluasan Pulau Jurong di Singapura, serta pembangunan dan penyelenggaraan saluran pelayaran di Pangkalan Bekalan Tok Bali di Kelantan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Keyfield Group, Datuk Darren Kee Chit Huei berkata, melalui pengambilalihan ini, Keyfield akan menceburi industri pengorekan dan mempercepatkan pengembangan kami melangkaui sektor minyak dan gas.
Katanya, ini merupakan pengambilalihan kedua syarikat terhadap kapal bukan minyak dan gas (O&G), selepas pengambilalihan Keyfield Blessing pada tahun lalu, sebuah tongkang pemasangan kabel yang kini sedang disewa untuk operasi di Asia Barat.
“Pengambilalihan Inai Kenanga juga meneruskan strategi kami untuk memperoleh aset pada nilai di bawah harga pasaran, sekali gus meletakkan syarikat pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang pertumbuhan pada masa hadapan.
“Kemasukan kami ke dalam industri penyewaan kapal sokongan luar pesisir (OSV) pada tahun 2016 membolehkan kami membina sebuah armada OSV yang muda, dengan spesifikasi terunggul dan pada perbelanjaan modal yang munasabah,” katanya.
Darren berkata, pengambilalihan ini akan dibiayai melalui tunai dalaman dan oleh itu tidak memerlukan sebarang pinjaman.
“Selepas pengaktifan semula Inai Kenanga, yang dijangka siap pada 2027, kami bersama Starhigh berhasrat untuk mengambil bahagian dalam projek-projek pengorekan di Asia Tenggara, khususnya di Malaysia dan Singapura.
“Starhigh membawa rangkaian industri serta kepakaran yang relevan, melengkapi kekuatan kami dalam pemilikan aset marin dan keupayaan operasi.
“Kerja-kerja pengorekan dan aktiviti marin berkaitan semakin penting dalam memperkukuh daya tahan pesisir pantai serta menyokong pembangunan infrastruktur marin,” jelasnya.
Disiapkan pada 2016, Inai Kenanga pada ketika itu merupakan kapal korek terbesar di Asia dan ketiga terbesar di dunia.
Dibina pada kos yang dilaporkan sebanyak RM1.2 bilion dan mempunyai kapasiti corong sebanyak 32,205 meter padu (m³), ia direka untuk projek pengorekan berskala besar, penambakan tanah, kejuruteraan marin, infrastruktur utama dan pembangunan pesisir pantai. – UTUSAN










