Sistem kewangan masa depan perlu seimbang inovasi, kestabilan - Utusan Malaysia

Sistem kewangan masa depan perlu seimbang inovasi, kestabilan

AMIR Hamzah Azizan (tengah) dan Novan Amirudin (kanan) bersama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour (tiga dari kanan) bergambar selepas Majlis Penyelesaian Deposit Tokenisasi CIMB Bagi Tokenisasi Sukuk Pertama di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem kewangan generasi akan datang perlu mengimbangi inovasi dengan kepercayaan, kecekapan dengan daya tahan serta kemajuan dengan kestabilan, bukan bergantung kepada teknologi semata-mata.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemunculan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital dan tokenisasi membuka peluang baharu kepada sistem kewangan negara.

Menurutnya, nilai sebenar teknologi berkenaan terletak pada keupayaannya meningkatkan kecekapan pasaran, mengurangkan halangan, memperluas akses serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malaysia perlu membangunkan sistem kewangan yang lebih cekap, bersepadu dan inklusif bagi menyokong pertumbuhan serta daya saing negara pada masa depan.

“Perbincangan kita hari ini bukan hanya mengenai teknologi, tetapi juga usaha memperkukuh daya saing Malaysia, memperdalam pelaburan dan pembentukan modal serta memastikan negara kekal sebagai pasaran kewangan dan modal terkemuka di rantau ini.

“Malaysia mempunyai institusi, kepakaran dan bakat, selain tradisi kerjasama yang kukuh antara penggubal dasar, pengawal selia dan pemain pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyelesaian Deposit Tokenisasi CIMB bagi Tokenisasi Sukuk Pertama di Malaysia di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata, kekuatan berkenaan perlu terus dimanfaatkan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan terkemuka serta peneraju global dalam kewangan Islam.

Katanya, Malaysia memasuki fasa seterusnya dengan kedudukan yang kukuh selepas membangunkan pasaran modal yang mendalam, pelbagai dan dikawal selia dengan baik selama beberapa dekad.

“Kita juga telah membina kepimpinan global dalam kewangan Islam serta meraih kepercayaan pelabur menerusi institusi yang kukuh, tadbir urus yang baik dan kawal selia secara berhemah.

“Pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia dibina berasaskan kerjasama yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata, semangat kerjasama antara sektor awam dan swasta akan menjadi semakin penting dalam membentuk masa depan sistem kewangan negara.

“Masa depan kewangan tidak boleh dibentuk oleh mana-mana institusi secara bersendirian.

“Ia memerlukan kepimpinan kawal selia, inovasi yang bertanggungjawab, keyakinan pelabur dan, yang paling utama, kerjasama erat merentasi keseluruhan ekosistem kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini