ROM: Pihak berkuasa tempatan di pekan bersejarah Naro, wilayah Agrigento, Sicily kini mengemukakan tawaran jualan rumah pada harga serendah €1 (RM4.70) bagi menarik minat pembeli tempatan mahupun warga asing.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan semula populasi di pekan itali itu selain menyelamatkan bangunan-bangunan lama terbiar di pekan yang kini hanya mempunyai sekitar 6,700 penduduk.
Bagaimanapun, tawaran harga hartanah yang lebih murah daripada secawan kopi ini tampil dengan pelbagai syarat dan kos sampingan yang perlu ditanggung oleh pembeli.
Bakal pembeli perlu menyediakan bayaran tambahan merangkumi kos notari, cukai kadaster dan yuran pendaftaran pautan hak milik.
Selain itu, pembeli dikehendaki meletakkan deposit jaminan bernilai kira-kira €5,000 (RM23,510) yang boleh dituntut semula selepas kerja-kerja pembaikan selesai.
Pihak majlis perbandaran turut menetapkan syarat bahawa kerja-kerja mengubahsuai secara menyeluruh perlu disiapkan dalam tempoh tiga tahun mengikut piawaian keselamatan dan kelulusan perancangan tempatan.
Menerusi tawaran ini, pemilik baharu bebas menggunakan hartanah berkenaan sebagai kediaman utama, rumah percutian, rumah tumpangan mahupun ruang perniagaan. Seorang pembeli dari London, George Laing yang pernah membeli tiga unit rumah menerusi program seumpama ini di Mussomeli mendedahkan bahawa rumah €1 pada asasnya hanya sebuah struktur yang memerlukan pengubahsuaian menyeluruh termasuk pendawaian elektrik, perpaipan, pembaikan bumbung, bilik air dan dapur.
Laing menjelaskan bahawa walaupun harga pemilikan hartanah itu hanya €1, kos perundangan dan pentadbiran awal sahaja boleh mencecah sekitar £4,000 (RM21,986) merangkumi yuran agensi, kos notari untuk pemindahan hak milik dan sijil tenaga kenderaan.
Beliau turut menambah bahawa sebahagian besar hartanah bernilai €1 berkenaan tidak mempunyai sambungan bekalan air asas. – AGENSI











