PETALING JAYA: Seorang anak pasangan Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu nekad membalas pengorbanan ibu bapanya dengan kecemerlangan akademik serta impian menggenggam segulung ijazah daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
UniMAP berkata, Arifah Azhari kini menyambung pengajian dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA).
Menurut universiti itu, kejayaan Arifah menyambung pengajian bukan sekadar pencapaian peribadi, malah membawa bersama doa, pengorbanan dan harapan sebuah keluarga yang mungkin tidak mampu memberikan kemewahan, namun tidak pernah kedekut mencurahkan kasih sayang serta dorongan.
“Mereka mungkin tidak mendengar tetapi mereka sentiasa memahami. Kisah ibu dan bapanya mungkin tidak diceritakan dengan kata-kata. Namun, setiap pagi mereka bangun bekerja.
“Setiap hari mereka menjalankan tanggungjawab. Dalam diam, mereka menyediakan apa yang termampu untuk sembilan orang anak.
“Mereka mungkin tidak dapat mendengar suara anak-anak menyatakan cita-cita tetapi pengorbanan mereka menjadi bahasa kasih sayang yang cukup kuat untuk difahami,” katanya menerusi kenyataan media.
Terdahulu, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli bersama Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (BHEP JPT), Hirman Awang menyantuni keluarga Arifah menerusi program Ziarah Kasih.
UniMAP berkata, kunjungan itu menjadi tanda keprihatinan terhadap perjalanan pendidikan Arifah dan keluarganya.
Katanya, Arifah turut menerima Bantuan Awal Pendidikan daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) serta Bantuan Awal Pengajian UniMAP bagi membantu persiapan dan keperluannya memulakan pengajian.
“Bantuan yang disalurkan ini bukan sekadar nilai kewangan, tetapi membawa mesej bahawa perjuangan Arifah dan keluarganya dilihat, dihargai dan mendapat perhatian.
“Kisah Arifah menjadi gambaran kejayaan tidak semestinya bermula dengan kehidupan yang serba lengkap,” katanya. – UTUSAN










