KL City tunggu 'lampu hijau' FIFA

KL City tunggu ‘lampu hijau’ FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuala Lumpur City (KL City) FC kini hanya menunggu nama pasukan itu ‘dipadam’ dalam sekatan pembelian pemain bagi membolehkan pendaftaran pemain baharu dibuat.

Menurut sumber dalaman, skuad The City Boys sebenarnya sudah melunaskan segala tunggakan gaji yang dibawa bekas pemain kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Katanya, penolakan duit dalam akaun pasukan kepada bekas-bekas pemain itu sudah berlaku dan kini KL City FC hanya menunggu nama dipadam dalam senarai sekatan pembelian pemain FIFA.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara ini sudah selesai, cuma ada salah seorang bekas pemain itu tidak menerima wang yang dimasukkan kerana kesilapan nombor akaun dan perkara itu sudah diperbetulkan.

“Perkara itu yang mengganggu proses pembayaran dan menjurus kepada sekatan daripada FIFA. Semua urusan pembayaran sudah diperbetulkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, pelbagai persoalan terus menyelubungi KL City apabila nama skuad ‘The City Boys’ dikesan masih lagi kekal tertera dalam senarai pangkalan data sekatan perpindahan FIFA.

Perkara itu juga dikatakan menjadi punca kepada kegagalan KL City mendaftarkan jumlah pemain yang sepatutnya, sekali gus menjurus kepada kekalahan ‘percuma’ pada aksi pertama Liga Super musim ini.

Kelmarin, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan kemenangan percuma kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) dan mengenakan hukuman denda RM50,000 terhadap KL City.

Ia susulan aksi Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan itu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu dibatalkan pada saat akhir.

Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati KL City gagal menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal hingga menyebabkan gagal menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang NSFC.

Sebelum ini, Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan lanjut terutamanya memohon FIFA mengeluarkan nama KL City daripada senarai sekatan pembelian pemain.

Ketika ini, KL City hanya memiliki pemain yang cukup-cukup sahaja untuk beraksi apabila hanya 12 pemain yang ada dalam senarai pemain yang boleh disahkan bermain.

Daripada senarai terbabit, ia merangkumi 10 pemain tempatan dan dua pemain import termasuk seorang penjaga gol, namun dua daripada pemain itu dilaporkan mengalami kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini