MELAKA: Kehadiran dua penyerang import, Bernard Artur dan Juan Douglas menjadi suntikan semangat buat Melaka FC ingin menyekat Kuala Lumpur City FC daripada meraih kemenangan besar, esok.
Jurulatih Melaka FC, Datuk K. Devan berkata, kedua-dua pemain itu pulih daripada kecederaan dijangka dapat diturunkan dalam kesebelasan utama berdepan skuad warga kota itu pada saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat.
Menurutnya, pemain telah diingatkan untuk melupakan kekalahan teruk 1-7 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi di tempat lawan 22 November lalu.
Katanya, kesebelasan utama yang akan diturunkan melayan kunjungan KL City FC di gelanggang sendiri kini berazam mahu menebus kekalahan kepada JDT minggu lalu.
“KL City pasukan yang kuat masih belum kalah dalam lapan perlawanan dan menduduki tempat ketiga liga super.
“Jadi saya minta pemain untuk fokus dan lupakan kekalahan teruk kepada JDT kerana misi ini amat penting sebab kita belum menang sebarang perlawanan,” ujarnya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hang Tuah di sini semalam.
Devan berkata, dia berharap aksi ketika menentang JDT perlu dikekalkan dalam usaha menyekat skuad warga kota daripada pulang membawa tiga mata penuh.
Katanya, beliau tidak menolak akan melakukan rombakan ke atas kesebelasan utama terutama di bahagian serangan dan tengah.
Ujarnya, pemain perlu bangkit untuk meraih kemenangan pertama daripada tujuh perlawanan serta memperbaiki kedudukan tangga terbawah liga.
Jelasnya, secara realistik dia mengakui kekangan bajet menyebabkan pasukan itu gagal mendapatkan pemain berkualiti berbanding pasukan lain di Liga Super.
Untuk rekod daripada tujuh perlawanan yang dilalui Melaka FC berada di tangga terbawah liga daripada 13 pasukan sekadar meraih tiga mata hasil tiga keputusan seri dan empat kali tewas. – UTUSAN










