KUANTAN: Penyedia platform p-hailing perlu mengemaskini tetapan aplikasi dengan mewujudkan pilihan pengecualian pesanan barangan tidak halal khusus untuk penghantar beragama Islam tanpa menjejaskan penilaian prestasi atau kelayakan insentif mereka.
Presiden Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, langkah itu penting bagi memastikan hak dan pegangan agama pekerja gig terus terjamin tanpa menjejaskan mata pencarian mereka.
Menurutnya, ekonomi gig di negara ini tidak seharusnya berkembang pesat daripada sudut teknologi semata-mata sebaliknya perlu dibina atas prinsip keadilan sosial dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan budaya.
“Penghantar p-hailing merupakan tulang belakang kepada ekosistem perkhidmatan digital negara. Penetapan sistem algoritma atau kadar penerimaan pesanan yang menghukum atau memberi implikasi ekonomi kepada penghantar muslim hanya kerana mempertahankan pegangan agama adalah satu kelemahan sistemik yang perlu diatasi segera.
“Teknologi sedia ada sepatutnya memudahkan agihan tugasan bukannya meletakkan pekerja dalam dilema antara tuntutan agama dan mata pencarian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini menegaskan, algoritma tidak boleh menghukum pekerja kerana pegangan agama dan menggesa semua penyedia platform p-hailing memperkenalkan mekanisme pengecualian berasaskan keperluan agama dalam sistem masing-masing.
Melalui mekanisme itu, PPIM menyatakan bahawa penghantar muslim boleh memilih untuk tidak menerima kategori pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.
Mohd. Sharkar berkata, MyGiG juga menyokong kenyataan PPIM supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengadakan libat urus bagi merangka satu garis panduan yang jelas dan praktikal mengenai hal itu.-UTUSAN











