PAC setuju mahu siasat ‘kelemahan’ TH

PAC setuju mahu siasat ‘kelemahan’ TH

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bersetuju memulakan prosiding bagi menyiasat kelemahan tadbir urus, kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan itu dibuat susulan penemuan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

“Pendedahan RCI itu amat serius dan boleh menghakis kepercayaan umat Islam di negara ini terhadap TH sekiranya tidak ditangani sewajarnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masih ada beberapa persoalan yang terus diperkatakan selepas Laporan RCI itu didedahkan dan kemudian dibahaskan di Dewan Rakyat dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mencadangkan PAC Parlimen supaya menubuhkan badan penyiasat khas di bawah tanggungjawabnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu pengurusan TH bagi tempoh 2018 hingga 2025.

Beliau dilaporkan berkata, cadangan itu dikemukakan secara tidak formal oleh Ahli Parlimen yang hadir dalam wacana intelektual bertajuk Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, sebagai Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang bersifat bipartisan, PAC mempunyai bidang kuasa jelas untuk memulakan prosiding berhubung isu berkenaan selaras dengan peraturan dan arahan berkaitan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan prosiding itu bukan bertujuan mengulangi siasatan RCI yang sudah dijalankan secara menyeluruh, sebaliknya memberi tumpuan kepada status serta kemajuan sebenar pelaksanaan syor RCI.

“PAC ingin menegaskan prosiding ini bukan bertujuan mengulangi siasatan RCI yang telah dibuat dengan menyeluruh, sebaliknya akan menumpukan kepada status dan kemajuan sebenar pelaksanaan syor-syor RCI selaras dengan fungsi teras PAC,” katanya.

Katanya, tajuk, terma rujukan (TOR) dan senarai saksi prosiding masih belum ditetapkan dan PAC akan mengadakan mesyuarat khas bagi tujuan berkenaan.

Tambahnya, PAC mempunyai pengalaman mengendalikan prosiding berkaitan isu besar dan sensitif termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2016, tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion pada 2019 serta perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua iaitu kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia pada 2022.

“Bagi memastikan siasatan prosiding berhubung Lembaga Tabung Haji dilakukan secara komprehensif, telus dan berakauntabiliti, PAC akan turut menggunakan dokumen seperti Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Audit Firma Audit PwC sebagai rujukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini