Pencapaian terbaik Perlis dalam sejarah Sukma - Utusan Malaysia

Pencapaian terbaik Perlis dalam sejarah Sukma

ABU Bakar Hamzah (tiga dari kiri) dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Seri Putra, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan pencapaian terbaik dalam penyertaan Sukan Malaysia (Sukma) dengan meraih 17 pingat emas dalam temasya di Selangor tahun ini.

Kejayaan diraih itu merupakan pencapaian terbaik kontinjen negeri ini sepanjang terlibat dalam temasya Sukma sejak 40 tahun lalu.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, pencapaian itu merupakan satu perkembangan positif kepada pembangunan sukan negeri sekali gus menggambarkan hasil usaha berterusan dilaksanakan secara bersama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini adalah hasil usaha berterusan secara bersama atlet, jurulatih, persatuan-persatuan sukan, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan semua pihak terlibat dalam pembangunan negeri,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.

Temasya Sukma Selangor yang melabuhkan tirai kelmarin menyaksikan kontinjen Perlis meraih 17 pingat emas, tujuh pingat perak dan 18 pingat gangsa, sekali gus menjadi pencapaian terbaik negeri ini.

Abu Bakar berkata, antara pencapaian amat membanggakan menerusi kejayaan atlet dalam acara lontar peluru yang berjaya memecahkan rekod temasya.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa atlet Perlis bukan sahaja mampu bersaing, malah berupaya mencipta rekod baharu di pentas Sukma,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, pencapaian kontinjen negeri ini adalah yang terbaik pernah direkodkan mengatasi pencapaian ketika Perlis menjadi tuan rumah dalam edisi pada tahun 2014.

Katanya, walaupun tidak dapat mencapai sasaran 20 pingat emas, namun kontinjen negeri ini tetap menunjukkan prestasi terbaik.

“Ini adalah sejarah pencapaian terbaik dan semasa kita jadi tuan rumah pun tidak dapat lebih 12 pingat emas. Kalau ikut sasaran, negeri-negeri lain juga jauh dari sasaran yang mereka tetapkan berbanding dengan Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini