SEREMBAN: Semua Ahli Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) daripada kerajaan terdahulu diminta memulangkan semula peruntukan yang diterima selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, setiap Ahli Exco perlu memulangkan RM150,000 bagi peruntukan bulan Ogos dan September, manakala 10 ADUN biasa PH serta dua Penyelaras DUN perlu memulangkan keseluruhan peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September.
Katanya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini susulan isu kelulusan peruntukan berkenaan yang dibangkitkan pada sidang khas DUN baru-baru ini.
“Pada 3 Jun lalu, Kerajaan Negeri melalui MMK meluluskan sejumlah peruntukan kepada ADUN daripada PH dan pada 4 Jun, peruntukan itu disalurkan ke akaun mereka.
“Namun, pada 5 Jun, DUN dibubarkan. Bagi Ahli Exco termasuk Menteri Besar ketika itu, mereka masih menjalankan tugas sehingga pilihan raya dan layak menggunakan peruntukan bagi bulan Julai.
“Jadi, bagi bulan Ogos dan September, mereka perlu memulangkan semula peruntukan kepada Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Ismail berkata, 10 ADUN biasa dan dua Penyelaras DUN pula tidak lagi mempunyai fungsi selepas DUN dibubarkan, justeru perlu memulangkan keseluruhan peruntukan yang diterima bagi tempoh tiga bulan berkenaan.
Katanya, setiap Ahli Exco menerima RM225,000 bagi tempoh Julai hingga September, membabitkan RM180,000 untuk kesejahteraan rakyat dan RM45,000 bagi Pusat Khidmat.
“Daripada jumlah itu, RM75,000 bagi bulan Julai boleh digunakan kerana mereka masih berfungsi sebagai Ex-officio. Jadi, RM150,000 bagi bulan Ogos dan September perlu dipulangkan.
“Bagi ADUN biasa pula, masing-masing menerima RM174,000 bagi tempoh tiga bulan, iaitu RM58,000 sebulan membabitkan RM45,000 untuk rakyat dan RM13,000 bagi Pusat Khidmat.
“Bagi dua Penyelaras DUN pula, masing-masing menerima RM150,000 bagi tempoh tiga bulan dan keseluruhan jumlah itu perlu dipulangkan,” katanya.
Ismail berkata, surat tuntutan akan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar dalam masa terdekat dengan tempoh 30 hari diberikan kepada semua pihak terbabit untuk memulangkan wang berkenaan.
Beliau berkata, kesemua peruntukan itu sudah dikeluarkan pada 4 Jun lalu, sehari selepas keputusan kelulusan dibuat MMK.
Dalam perkembangan sama, Ketua MIC Bahagian Rembau, Datuk V.S. Mogan dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Masyarakat India bertaraf Exco berkuat kuasa 1 September ini selepas dipersetujui dalam mesyuarat MMK.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan tular yang menggesa beliau melakukan rombakan terhadap beberapa pegawai kanan kerajaan negeri, Ismail menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang biasa dan memaklumkan hubungannya dengan pegawai kerajaan negeri berada dalam keadaan baik.
“Itu biasalah, viral-viral. Tetapi setakat ini hubungan kita dengan pegawai kerajaan, pegawai-pegawai yang mentadbir negeri ini dalam keadaan baik,” katanya. – UTUSAN











