'Tidak gentar saman, ini tanah, negeri kita' - MB - Utusan Malaysia

‘Tidak gentar saman, ini tanah, negeri kita’ – MB

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri tidak gentar dan sedia berdepan tindakan saman sivil difailkan Jawatankuasa Kuil Sri Veeramakaliamman, Bukit Lagi, di sini, pada 19 Ogos lepas susulan tindakan perobohan rumah ibadat itu.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri mempunyai hak mempertahankan tindakan perobohan mengikut Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Katanya, sebarang keputusan oleh kerajaan negeri berhubung tindakan tersebut adalah dengan mengambil kira daripada pelbagai sudut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu saman menyaman ini biasa. Bagi pihak kerajaan negeri, kita bersedia, kita tunggulah. Sebab ini adalah tanah kita, tanah negeri, jadi kita pertahankan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan jawatankuasa kuil terlibat didakwa memfailkan saman sivil terhadap kerajaan Perlis, Pejabat Tanah Kangar, dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) pada 19 Ogos, sehari sebelum operasi perobohan tersebut.

Pengerusi jawatankuasa itu, P Sathesh Kumar dilaporkan berkata, tindakan merobohkan Kuil Sri Veeramakaliamman sebelum ini menimbulkan tanda tanya susulan kerajaan negeri Perlis memberi jaminan tempoh sehingga hujung tahun bagi menyelesaikan isu berkenaan.

KUIL Veeramakaliamman yang diambil tindakan perobohan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) di Bukit Lagi, Kangar, Perlis.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Sementara itu, Abu Bakar menyarankan kepada kumpulan-kumpulan tertentu yang bercadang menganjurkan himpunan agar menghentikan tindakan tersebut.

“Bagi orang luar dari Perlis, saya menasihati agar tidak terlibat dalam himpunan ini sekiranya ia diadakan. Insha-Allah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menangani perkara ini dengan baik.

“Kalau boleh, kedua-dua pihak kita hentikan dan kerajaan negeri melalui PDRM akan selesaikan isu ini dengan baik,” katanya.

Polis sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung cubaan penganjuran Himpunan Merah yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini, susulan tindakan perobohan kuil berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini