Jerebu tebal ancam kesihatan jutaan penduduk Indonesia

Jerebu tebal ancam kesihatan jutaan penduduk Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Jutaan penduduk Indonesia berisiko mengalami masalah kesihatan akibat terdedah kepada jerebu tebal yang menyelubungi beberapa bandar, ketika kebakaran hutan akibat El Nino terus melanda pulau Borneo dan Sumatera.

Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, berdepan kebakaran hutan sejak beberapa minggu lalu sehingga menyebabkan sekolah ditutup dan ribuan penduduk mendapatkan rawatan, manakala asap turut merebak ke Malaysia dan Singapura.

Kementerian Kesihatan berkata, kira-kira 3.4 juta penduduk di tujuh wilayah di Borneo dan Sumatera berisiko mengalami jangkitan saluran pernafasan akibat terdedah kepada jerebu.

Di Pekanbaru, ibu negeri wilayah Riau di Sumatera, jerebu tebal memaksa kerajaan menutup puluhan sekolah selain menggesa penduduk berada di dalam rumah.

“Jerebu semakin tebal pada waktu malam sehingga Pekanbaru seolah-olah menjadi bandar mati. Ramai tidak berani keluar dan jika keluar, mereka memakai pelitup muka,” kata seorang usahawan berusia 38 tahun, Abdullah, kepada AFP.

“Mata saya sangat pedih. Apabila keluar, rasanya seperti menghirup asap daripada sampah yang baru dibakar,” kata penduduk Pekanbaru itu.

Di Jambi, yang turut terletak di Sumatera, seorang suri rumah berusia 31 tahun, Farida, berkata jerebu sudah menjejaskan kesihatan keluarganya.

“Anak saya yang berusia empat tahun dan saya mula batuk dengan teruk, terutama apabila terlalu lama berada di luar. Saya sukar bernafas,” katanya kepada AFP.

Kerajaan tempatan Jambi mengarahkan kanak-kanak di tadika dan sekolah rendah mengikuti pembelajaran dari rumah sehingga akhir minggu ini.

Kementerian Kesihatan berkata, lebih 260,000 pelitup muka diagihkan kepada penduduk di kawasan yang paling teruk terjejas.

Semalam, Presiden Prabowo Subianto berkata kerajaan mengerahkan puluhan helikopter, pesawat, pam air serta ribuan anggota bagi memadamkan kebakaran.

“Sekarang saya fikir keadaan sudah mula dikawal dan ditangani. Di beberapa tempat, saya percaya dan berharap semuanya dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang,” kata Prabowo.

Kebanyakan kebakaran hutan dipercayai berpunca daripada amalan pembakaran terbuka bagi membersihkan kawasan untuk tujuan pertanian.

Polis berkata, pada hujung minggu lalu 72 individu ditahan kerana disyaki memulakan kebakaran.

Kebakaran antara Januari hingga Julai memusnahkan lebih 200,000 hektar kawasan, bersamaan kira-kira tiga kali ganda keluasan Jakarta, menurut kerajaan minggu lalu.

Jumlah itu sudah melebihi keluasan kawasan yang terbakar ketika musim El Nino sebelum ini pada 2019 dan 2023.

Fenomena cuaca El Nino mencetuskan perubahan pada corak angin, tekanan atmosfera dan taburan hujan di seluruh dunia.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×