Lelaki bunuh bapa guna botol kicap tidak perlu bela diri

Lelaki bunuh bapa guna botol kicap tidak perlu bela diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan seorang lelaki yang membunuh bapanya enam tahun lalu dengan botol kicap tidak perlu dipanggil untuk membela diri.

Panel yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebulat suara membenarkan rayuan Pang Kar Foong terhadap keputusan oleh Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membela diri.

Kes itu dikendalikan peguam, Gurbachan Singh dan Gobindeep Singh mewakili tertuduh manakala Mohd. Fuad Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, Kar Foong, 55, didakwa membunuh bapanya, Pang Ket Tai, 75 (pada ketika itu), di sebuah rumah di Jalan Besar Kampung Baru Gunung Rapat, di Ipoh, Perak, antara 10.30 pagi dan 6.30 petang, 12 September 2020.

Pada 30 September 2024, Mahkamah Tinggi membebaskan Kar Foong tanpa memanggilnya membela diri dan memerintahkannya ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta atas perkenan Sultan Perak mengikut Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah.

Pada September 2025, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan memerintahkan agar lelaki itu dipanggil untuk membela diri.

Pada prosiding hari ini, Hakim Nordin ketika menyampaikan keputusan berkata, panel sebulat suara membenarkan rayuan Kar Foong.

“Ini adalah kes yang berbeza daripada prinsip undang-undang biasa berhubung pemanggilan pembelaan apabila tiada kes prima facie.

“Oleh itu, kami berpandangan bahawa ini adalah kes yang wajar untuk kami menggunakan budi bicara bagi membenarkan rayuan dan pihak pembelaan tidak seharusnya dipanggil dalam keadaan ini.

“Bagaimanapun, kami akan membuat perintah supaya tertuduh dalam kes ini ditempatkan dalam tahanan selamat atas perkenan Sultan (Perak) di bawah Seksyen 348 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Abdul Wahab Mohamed sebelum ini membebaskan Kar Foong selepas berpuas hati bahawa lelaki itu telah dia membunuh bapanya namun berada dalam keadaan tidak siuman ketika kejadian sekaligus tidak mampu mengetahui sifat dan akibat perbuatannya sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Mengikut seksyen itu, sesuatu perbuatan bukan suatu kesalahan jika dilakukan oleh individu yang ketika kejadian tidak berupaya mengetahui sifat perbuatannya atau bahawa perbuatan itu salah dan bertentangan dengan undang-undang, akibat ketidakwarasan fikiran.

Pada 12 September 2020, media melaporkan mayat Ket Tai yang merupakan pekedai runcit itu ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan di muka, leher dan kepala.

Ketika ditemui, suspek iaitu Kar Foong yang berada di sisi bapanya tidak cuba melarikan diri sehingga tangkapan dilakukan ke atasnya.

Siasatan mendapati, pergaduhan antara dua beranak itu berlaku ekoran suspek sering dimarahi mangsa kerana tidak mendengar kata.

Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun mempunyai rekod rawatan penyakit mental sejak 20 tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini