Iran, Oman sambung runding pengurusan Selat Hormuz

Iran, Oman sambung runding pengurusan Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Iran menyambung semula rundingan dengan Oman bagi menguruskan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, ketika tekanan ekonomi daripada Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat di tengah konflik yang lebih luas.

Kedua-dua negara mengadakan rundingan secara berkala selama beberapa minggu berhubung pengurusan laluan perairan strategik itu, yang sebelum perang bermula pada Februari mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.

Sebahagian besar operasi perkapalan melalui selat itu terhenti sejak konflik bermula.

Iran dan Oman semalam berkata, mereka membincangkan koridor pelayaran sementara bersama melalui Selat Hormuz serta bersetuju untuk membersihkan laluan berkenaan daripada periuk api.

Presiden AS, Donald Trump, bagaimanapun berkata semua periuk api di selat itu dibersihkan, mengulangi kenyataan yang pernah dibuatnya sebelum ini.

Walaupun pertempuran antara AS dan Iran sebahagian besarnya reda, usaha diplomatik untuk mencapai perjanjian damai masih menemukan jalan buntu.

Keadaan itu menyebabkan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz kekal berisiko.

Sebuah kapal tangki minyak diserang objek tidak dikenali semalam dan tidak dapat beroperasi kira-kira 9 batu nautika (17 kilometer) di timur laut Ash Shishah, Oman, yang terletak di pintu masuk selat berkenaan, menurut Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom.

Dalam perkembangan berasingan, Perkhidmatan Rahsia AS berkata pihaknya mengetahui mengenai video yang disiarkan televisyen negara Iran berhubung kemungkinan rancangan untuk membunuh anak lelaki bongsu Trump, Barron.

Video berdurasi tiga minit yang disiarkan televisyen negara Iran itu membincangkan kemungkinan rancangan untuk membunuh Barron Trump, 20, dengan mendakwa beliau sedang dipantau serta terdapat tawaran ganjaran AS$10 juta (RM42 juta) bagi pembunuhannya.

Walaupun ketegangan masih berterusan, AS mula menghantar semula kakitangan ke beberapa misi diplomatiknya di Asia Barat yang sebelum ini dipindahkan atau dikurangkan operasinya susulan ketegangan dengan Iran, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters.

Langkah berkenaan menunjukkan Washington melihat risiko konflik dengan Iran daripada kembali memuncak dalam masa terdekat sebagai lebih rendah, meskipun beberapa kedutaan pada peringkat awal akan beroperasi dengan kapasiti terhad.

Dalam usaha melemahkan ekonomi Iran, AS awal minggu ini mengancam untuk mengenakan tindakan terhadap negara yang terus menjalankan urus niaga dengan Iran, namun berkata hukuman itu tidak akan dikenakan serta-merta.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×