Atlet cemerlang SUKMA tidak dibiarkan tercicir

Atlet cemerlang SUKMA tidak dibiarkan tercicir

Jefri Ngadirin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masa depan sukan negara dilihat berada pada landasan terbaik selepas barisan atlet muda mempamerkan aksi cemerlang dan mencatat pelbagai pencapaian membanggakan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Kejohanan sukan terbesar di Malaysia itu bukan sahaja menyaksikan persaingan sengit antara kontinjen negeri, malah menjadi medan terbaik untuk mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi besar diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pencapaian atlet muda yang berjaya memecahkan rekod kejohanan turut membuktikan program pembangunan sukan di peringkat negeri mula menampakkan hasil yang positif.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam SUKMA Selangor 2026 kali ini ada dua rekod kebangsaan dipecahkan melalui acara renang dan basikal trek. Selain itu, 37 rekod SUKMA dipecahkan menerusi 11 acara renang, 10 memanah, 10 olahraga dan enam menembak.

“MSN juga berpuas hati dengan prestasi atlet-atlet muda. Selain itu, seramai 132 atlet juga telah dikenalpasti untuk persiapan ke Sukan SEA Malaysia 2027. Jumlah itu untuk atlet baru, kita masih ada atlet pelapis dan juga podium.

“Sekiranya diberikan sokongan dan bantuan dalam aspek penyediaan rapi, MSN percaya 1,975 atlet yang bersaing di SUKMA untuk semua negeri ini mampu membekalkan lebih banyak atlet-atlet untuk mewakili negara.

“Tahniah kepada penganjur, Selangor yang menganjurkan temasya kali ini dengan jayanya dan tahniah juga kerana mereka berjaya muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Jefri berkata, dalam acara olahraga misalnya, banyak rekod berjaya diperbaharui, sekali gus memperlihatkan peningkatan ketara dari segi kualiti dan tahap prestasi atlet muda negara.

“Situasi itu memberi petanda positif kepada badan sukan negara kerana mereka kini mempunyai kelompok atlet yang lebih besar untuk dipilih dan dibentuk sebagai pelapis skuad kebangsaan.

“SUKMA Selangor 2026 juga membuktikan pembangunan atlet tidak lagi hanya tertumpu kepada beberapa negeri tradisi, sebaliknya semakin banyak kontinjen berjaya melahirkan bakat berkualiti,” katanya.

Bagi atlet yang menyerlah, pencapaian di SUKMA Selangor seharusnya menjadi titik permulaan untuk mereka terus meningkatkan prestasi, bukannya berasa selesa selepas meraih kejayaan di peringkat remaja.

Badan sukan dan persatuan kebangsaan pula perlu memastikan bakat yang dikesan sepanjang kejohanan tidak tercicir dengan menyediakan laluan pembangunan yang jelas dan berterusan.

Program susulan yang tersusun amat penting bagi memastikan atlet muda berpotensi dapat terus dibimbing sehingga mampu menyumbang pingat buat negara di pentas Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik.

Jika momentum pembangunan yang dipamerkan pada SUKMA Selangor 2026 dapat diteruskan, masa depan sukan negara dilihat cukup cerah dengan generasi baharu atlet bersedia mengambil alih tanggungjawab mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN