Mengaku salah lebih mencerminkan keperibadian - Zizie Izette - Utusan Malaysia

Mengaku salah lebih mencerminkan keperibadian – Zizie Izette

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Datin Seri Zizie Izette meluahkan rasa musykil dengan sikap segelintir individu yang sukar mengakui kesalahan meskipun menyedari kekhilafan yang telah dilakukan.

Menurut Zizie, keberanian untuk mengakui kesilapan merupakan kejujuran yang paling bermakna selain menjadi cerminan keperibadian seseorang.

“Kenapa sesetengah orang apabila sudah melakukan kesalahan, susah sangat mahu mengaku salah?

“Bagi saya, integriti bukan tentang kita perlu sentiasa betul. Sebaliknya, integriti adalah tentang keberanian untuk berkata, ‘Ya, saya salah. Saya telah melakukan kesilapan’,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.

Menerusi perkongsian sama, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu berpendapat setiap individu tidak seharusnya terlalu ego untuk mengakui kesalahan, sebaliknya menjadikan perkara tersebut sebagai ruang untuk memperbaiki diri.

“Tidak mengapa jika sesekali kita tersilap. Kita semua manusia dan setiap daripada kita pasti pernah melakukan kesalahan.

“Apa yang tidak sepatutnya berlaku adalah apabila kita tidak mampu mengakui kesalahan, tidak belajar daripadanya dan terus mengulangi kesilapan yang sama,” tulisnya.

Dalam masa sama, Zizie menyifatkan kemampuan seseorang mengakui kesalahan sebenarnya lebih menyerlahkan nilai dan keperibadian diri berbanding keinginan untuk sentiasa berada di pihak yang benar.

“Kadangkala, keberanian untuk mengakui bahawa kita salah sebenarnya lebih mencerminkan keperibadian seseorang berbanding sentiasa mahu menjadi pihak yang betul,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×