IPU Alor Gajah, Bukit Rambai tidak sihat

IPU Alor Gajah, Bukit Rambai tidak sihat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kualiti udara di dua kawasan di Melaka iaitu Alor Gajah dan Bukit Rambai berada pada paras tidak sihat susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pagi ini.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, bacaan IPU di kedua-dua stesen berkenaan masing-masing merekodkan 151 dan 155 pada jam 10.00 pagi tadi.

Menurutnya, bacaan tersebut membabitkan pencemaran zarah halus (PM2.5), namun setakat ini tiada aktiviti pembakaran terbuka dikesan atau dilaporkan di kawasan terbabit.

“Kerajaan Negeri Melaka sentiasa memantau perkembangan kualiti udara di negeri ini dan mengambil perhatian terhadap peningkatan bacaan IPU di beberapa kawasan sejak semalam.

“Bagaimanapun, buat masa ini tiada aktiviti pembakaran terbuka dikesan atau dilaporkan di kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rais berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga sementara keadaan kualiti udara dipantau secara berterusan oleh agensi berkaitan.

Katanya, golongan yang lebih sensitif terhadap perubahan kualiti udara khususnya pesakit asma, kanak-kanak dan wanita mengandung disarankan mengurangkan aktiviti fizikal lasak atau terlalu lama di kawasan terbuka sekiranya keadaan udara kurang baik.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan sekiranya mengalami ketidakselesaan seperti batuk berpanjangan, sesak nafas atau gejala berkaitan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka termasuk membakar sampah atau bahan lain yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Rais berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau bacaan kualiti udara dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya keadaan memerlukan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kebimbangan atau panik dalam kalangan masyarakat.

“Keadaan semasa masih dalam pemantauan. Yang penting, kita sama-sama mengambil langkah berjaga-jaga, menjaga kesihatan diri dan memastikan tiada aktiviti yang boleh memburukkan lagi keadaan kualiti udara di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×