GEORGE TOWN : Seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), Mohamad Hijazi Zamri, 26, dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Sungai Ara di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab. Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan lelaki itu daripada bapanya sehari selepas kejadian.
“Siasatan awal mendapati, Mohamad Hijazi keluar selepas meminta izin daripada ibunya untuk ke Surau Al-Muttaqin, Lilitan Sungai Ara, pada 22 Ogos (Sabtu) dengan menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna biru bernombor pendaftaran PQG275.
“Bagaimanapun, sehingga kini, dia yang ketika itu memakai T-shirt lengan panjang berwarna oren hitam serta seluar panjang berwarna hitam tidak pulang dan gagal dihubungi oleh ahli keluarganya,” katanya di sini, semalam.
Tambah Anuwal, ciri-ciri fizikal lain yang ada pada Mohamad Hijazi ialah berketinggian kira-kira 155 sentimeter (cm) dengan berat kira-kira 54 kilogram (kg) selain berkulit sawo matang dan berambut hitam pendek.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki ini diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di talian 04-8662222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Mohamad Hijazi, Azizah Shahadan, 45, ketika dihubungi berkata, ini kali pertama anak sulung daripada tujuh beradik itu tidak pulang ke rumah selama lebih daripada 24 jam, sekali gus membuatkan seluruh ahli keluarga bimbang akan keselamatannya.
“Ibu dan ayah harap Abang (nama panggilan untuk Mohamad Hijazi) pulanglah. Sudah dua hari Abang tak balik. Kalau ada apa-apa sekalipun, baliklah. Ayah dan ibu tunggu di rumah,” katanya sebak.-UTUSAN











