Puluhan tahun membina nama, tetapi apabila tiba soal bayaran, pelakon lama masih perlu ‘melutut’ untuk mendapatkan harga yang setimpal.
Itulah realiti yang mengundang kecewa. Bukan soal mahu meminta lebih tetapi mereka berharap pengalaman, disiplin dan rekod kerja yang dibawa bertahun-tahun itu turut dihargai.
Bertemu dengan pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty, dia menyifatkan perkara itu sesuatu yang menyedihkan apabila mendengar ada antara rakan-rakan dan seniornya menerima tawaran yang dirasakan terlalu rendah.
Katanya, pengalaman dalam industri sepatutnya menjadi antara perkara yang dipertimbangkan sebelum sesuatu tawaran diberikan.
“Tidak seronoklah saya dengar kawan-kawan saya dapat tawaran yang tidak berpihak kepada mereka. Sedih, sebab kita bina nama ini sudah lama, berpuluh-puluh tahun, dan kita sudah melalui beberapa zaman.
“Saya sendiri sudah melalui fasa seluloid, zaman filem dan sekarang zaman digital. Semua itu adalah pengalaman yang sangat berharga dan saya rasa perkara itu patut dilihat apabila penerbit mahu menawarkan sesuatu kepada artis.
“Saya sedih apabila dengar senior-senior saya dapat tawaran yang sangat menjatuhkan semangat mereka. Kita sudahlah perlu berjuang untuk harga sendiri, jadi benda itu memang tidak seronok dan saya harap penerbit boleh pertimbangkan perkara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baginya, mereka yang sudah lama bekerja juga dianggap lebih memahami rentak penggambaran dan keperluan produksi.
“Bagi mukalah sebab kita sudah lama dalam industri. Kita faham disiplin dan selalunya orang lama ini buat kerja cepat, tidak menyusahkan orang dan tahu apa yang perlu dibuat.
“Kadang-kadang, satu atau dua kali penggambaran pun sudah selesai. Kita juga boleh bekerja dengan semua peringkat umur dan mudah menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, dia tetap bersyukur kerana kadar bayarannya sendiri setakat ini masih berada pada tahap yang baik. Namun, apa yang lebih penting baginya ialah melihat rakan-rakan seperjuangan turut mendapat penghargaan yang sewajarnya.
“Alhamdulillah, setakat ini bayaran yang saya terima memang baik. Saya harap semua orang dapat merasai perkara yang sama kerana saya tidak gembira apabila dengar senior-senior saya mendapat tawaran yang sangat rendah,” katanya.
Tegas Ellie, pengurus produksi seharusnya tidak membuat tawaran secara membuta tuli tanpa mengetahui latar belakang artis yang bakal dipanggil bekerja.
Ujarnya, sekurang-kurangnya buat sedikit semakan mengenai pengalaman dan pencapaian seseorang sebelum menentukan bayaran. Ada kemungkinan pihak produksi yang baharu dalam industri tidak begitu mengenali siapa yang mereka tawarkan kerja.
“Pengurus produksi yang baharu, tolonglah semak latar belakang artis sebelum buat panggilan. Kamu tidak tahu pencapaian dia, kamu tidak kenal kerja yang pernah dia buat, jadi jangan sampai bila mahu tawarkan kerja, tawaran yang diberikan tidak masuk akal.
“Begitu juga dengan penerbit baharu, perlulah kenal siapa artis yang kamu minta bekerja. Kalau hanya kenal artis baharu, kamu tidak akan tahu keseluruhan industri dan orang yang bekerja daripada pelbagai peringkat umur,” katanya.
Dia turut menyentuh sesi temu bual yang dilihatnya baru-baru ini membabitkan pelakon Ieda Moin. Situasi itu membuatkan dirinya berasa sedih kerana ia mengingatkan kembali tentang bagaimana perjalanan dan pengalaman seseorang dalam industri boleh dipandang ringan.
“Ieda Moin baru-baru ini pun, alamak, sedihlah. Tidak seronok tengok keadaan macam itu, sedangkan dia pun lebih muda daripada saya dan sudah lama melalui perjalanan sebagai pelakon. Jangan bagi harga yang rendah kepada dia dan pelakon lama yang lain,” katanya.











