Pekerja pencuci dalam bangunan juga penting

Pekerja pencuci dalam bangunan juga penting

SEHARUSNYA pekerja pencuci luar dan dalam bangunan tidak dipisahkan kerana peranan, tanggungjawab serta cabaran yang dihadapi hampir sama, meskipun di bawah kementerian berbeza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLEBIH dahulu saya mengucapkan tahniah di atas usaha Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menganjurkan Hari Penghargaan Pekerja Pembersihan. 

Saya turut berbangga apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mencalonkan tujuh penerima Anugerah Pekerja Pencuci untuk pingat negeri (pingat kebaktian) dari negeri masing-masing.

Usaha tersebut bukan sahaja satu penghargaan dan pengiktirafan betapa penting peranan pekerja-pekerja pencuci yang selama ini dipandang sepi. Ia juga mendorong pekerja-pekerja tempatan untuk menceburi sektor pembersihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya terkilan, kerana segala usaha tersebut hanya tertumpu kepada pekerja pencuci di luar bangunan dan di bawah kawal selia SWCorp. Pekerja pencuci di dalam bangunan yang tidak kurang pentingnya dalam memelihara kebersihan bangunan, keselamatan dan kesihatan penghuni dan pengunjung,  seolah-olah disisihkan.

Kemungkinan penyisihan ini disebabkan sektor perkhidmatan pencucian bangunan dikategorikan sebagai perkhidmatan tidak dikawal selia dan diletakkan di bawah pengawasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Ini tidak bermakna KPDN gagal menunaikan tanggungjawabnya. 

Sebaliknya, KPDN banyak membantu dan menyokong usaha yang dijalankan oleh Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM) dalam membangun dan memartabatkan sektor pembersihan.

MACM pernah mengusulkan untuk mengadakan perbincangan dengan SWCorp untuk menjalin kerjasama dalam usaha memartabatkan pekerja-pekerja pencuci luar dan dalam bangunan. Perbincangan yang sepatutnya diadakan tertangguh atas sebab-sebab tertentu dan terus senyap begitu sahaja.

Sudah sampai masanya untuk MACM, KPDN, SWCorp dan KPKT duduk semeja menyelaraskan usaha untuk membangun dan memartabatkan pekerja pencuci luar dan bangunan dan sektor pembersihan keseluruhannya.

Seharusnya pekerja pencuci luar dan dalam bangunan tidak dipisahkan kerana peranan dan tanggung jawab yang dimainkan oleh kedua-duanya adalah sama penting, masalah dan cabaran yang dihadapi hampir sama, walaupun diletak di bawah dua kementerian yang berasingan. –UTUSAN

NORUDDIN IDRIS

Bekas Presiden,

Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini