PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad merekodkan peningkatan jualan hartanah baharu sebanyak 9.2 peratus kepada RM416.7 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027, mencerminkan momentum permintaan yang kekal kukuh merentasi beberapa lokasi pembangunan utama kumpulan.
Peningkatan jualan itu turut disokong pelancaran projek baharu bernilai RM586.4 juta sepanjang suku berakhir 30 Jun 2026, sekali gus mengukuhkan saluran pertumbuhan kumpulan bagi tahun kewangan semasa.
Sendayan Developments di Negeri Sembilan terus menjadi pemacu utama dengan merekodkan jualan baharu RM235.3 juta dan hasil RM176.7 juta.
Pada masa sama, Malaysia Vision Valley (MVV) City semakin menyerlah sebagai pemangkin pertumbuhan baharu apabila mencatatkan jualan RM96.8 juta dan hasil RM21.3 juta pada suku berkenaan.
Matrix Concepts turut memulakan tahun kewangan 2027 dengan prestasi kukuh apabila hasil bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026 meningkat 11 peratus kepada RM315.6 juta berbanding RM284.3 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) susut sedikit kepada RM60.2 juta daripada RM62.9 juta setahun sebelumnya, terutama disebabkan ketiadaan keuntungan pelaburan sekali sahaja sebanyak RM6.1 juta serta peningkatan perbelanjaan pemasaran bagi pembangunan baharu.
Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama hasil, iaitu RM296 juta atau 93.8 peratus daripada jumlah hasil kumpulan.
Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, prestasi suku pertama mencerminkan daya tahan dan skala operasi kumpulan yang semakin berkembang.
“Sendayan Developments kekal sebagai tonggak utama portfolio kami, menyediakan asas yang sangat stabil. Ini kini dilengkapi momentum yang semakin kukuh di Johor, Lembah Klang serta pembangunan industri di MVV City.
“Keputusan ini membuktikan strategi kepelbagaian kami yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu berjalan seperti dirancang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kumpulan kini bersedia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya menerusi pengembangan bersasar dan pelaksanaan saluran pembangunan hartanah yang akan datang.
“Kumpulan menyasarkan sumbangan hasil daripada luar Negeri Sembilan melepasi 30 peratus bagi mempelbagaikan asas pendapatan dan mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kepelbagaian geografi kumpulan di luar Negeri Sembilan terus menunjukkan momentum sepanjang suku pertama.
Di Lembah Klang, Levia Residence mencatatkan jualan RM37.4 juta, manakala hasil suku tahunan meningkat 98 peratus kepada RM52.7 juta.
Pembangunan Horizon di koridor pertumbuhan Sepang dan Banting pula menyumbang jualan RM15.2 juta dan hasil RM18.3 juta.
Di Johor, Bandar Seri Impian merekodkan jualan RM32 juta, dengan hasil meningkat 42.2 peratus kepada RM21.8 juta, didorong peningkatan kesalinghubungan perkhidmatan kereta api ETS yang merancakkan permintaan pembeli di wilayah selatan.
Haslah berkata, jualan belum dibilkan kumpulan sebanyak RM1.5 bilion setakat 30 Jun 2026 menyediakan keterlihatan pendapatan bagi tempoh antara 15 hingga 18 bulan akan datang.
“Dengan memperoleh hasil yang stabil daripada operasi Build-to-Rent di Australia dan bahagian penjagaan kesihatan domestik, selain segmen sedia ada, kami kekal berhati-hati optimistik terhadap prospek tahun kewangan 2027 dan keupayaan mencipta nilai jangka panjang yang kukuh kepada pemegang saham,” katanya.
Matrix Concepts mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.4 sen sesaham bagi tahun kewangan 2027, membabitkan jumlah pembayaran RM26.3 juta atau 43 peratus daripada PAT suku pertama 2027.
Tarikh ex-dividen ditetapkan pada 18 September 2026, manakala pembayaran akan dibuat pada 8 Oktober 2026. – UTUSAN









