KUALA LUMPUR: Kewujudan teknologi kecerdasan buatan (IA) turut membantu sektor kesihatan dan kecergasan melakukan evolusi dalam meneroka segmen kesihatan pintar.
Antara syarikat yang memanfaatkan teknologi tersebut ialah OGAWA Malaysia, yang mahu menggabungkan teknologi berkenaan dalam industri kesihatan pintar melalui kerusi urutnya.
Menurut Pengarah OGAWA Malaysia, Leong Boon Hong, perubahan teknologi menjadikan pemulihan individu semakin setara kepentingannya dengan prestasi dan kecergasan sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan seharian.
Ini kerana katanya, pengguna kini berdepan waktu bekerja yang lebih panjang, tahap tekanan lebih tinggi serta rutin senaman yang semakin mencabar.
“OGAWA melihat Biohacking sebagai satu pendekatan yang membolehkan individu memainkan peranan lebih aktif dalam memahami tubuh badan serta mengurus kesihatan diri, berbanding hanya mendapatkan pemulihan apabila mereka berasa terlalu letih.
“Pemulihan adalah sebahagian daripada prestasi kerana sekiranya kita mahu mencapai prestasi lebih baik esok, pengguna perlu mendapatkan pemulihan yang lebih baik hari ini,” katanya dalam kenyataan.
OGAWA Malaysia sebelum itu melancarkan OGAWA Maestro Powered by Overseer yang turut dihadiri dua atlet negara iaitu bekas ratu skuasy, Datuk Nicol David dan jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang pada sesi temu mesra.
Biohacking sebelum ini banyak dikaitkan dengan atlet elit dan peminat teknologi, namun konsep itu kini mendapat perhatian lebih meluas apabila pengguna mencari kaedah praktikal untuk meningkatkan kualiti tidur, mengurus tekanan, memulihkan badan selepas aktiviti fizikal serta mengekalkan kesihatan secara keseluruhan.
Boon Hong berkata, berbeza dengan kerusi urut konvensional yang bergantung terutamanya kepada program dan tahap intensiti yang telah ditetapkan, Maestro Powered by Overseer direka untuk memberikan pengalaman lebih peribadi berdasarkan keadaan fizikal dan keperluan pengguna.
Kata beliau, teknologi itu juga dicipta untuk membantu menyesuaikan pengalaman urutan mengikut keperluan individu, selaras dengan kepercayaan OGAWA bahawa kesihatan perlu lebih responsif terhadap pengguna.
Menurutnya, teknologi graphene pula yang merupakan satu lagi komponen utama menghasilkan sinaran inframerah jauh (FIR) sebagai sebahagian daripada pendekatan berorientasikan pemulihan.
“Teknologi itu bertujuan menyokong aspek termasuk pemulihan otot, peredaran darah serta proses regenerasi semula jadi tubuh apabila digabungkan dengan fungsi urutan kerusi berkenaan.
“Ia merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas OGAWA untuk menggabungkan bahan dan teknologi termaju ke dalam produk yang secara tradisinya dikaitkan dengan relaksasi,” katanya.-UTUSAN











