Autoimun: Umpama tentera menyerang sistem pertahanan sendiri

Autoimun: Umpama tentera menyerang sistem pertahanan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila mendengar mengenai penyakit autoimun, pasti ramai tertanya-tanya apakah sebenarnya penyakit autoimun dan bagaimana ia boleh menjejaskan kesihatan seseorang sehingga boleh membawa maut?

Sistem imun adalah sistem pertahanan badan yang sepatutnya melindungi kita daripada kuman. Autoimun adalah keadaan di mana sistem pertahanan badan ini menjadi keliru dan menyerang tisu atau organ badan kita sendiri.

Bayangkan sistem pertahanan badan seperti tentera yang menjaga negara. Dalam konteks ini, askar ini sepatutnya menjaga badan kita. Dalam kes-kes autoimun, tentera ini tersilap anggap badan sendiri sebagai musuh, lalu menyerangnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Reumatologi, Hospital Pakar Tawakkal, Dr. Wan Rosmaiza Wan Musa berkata, apabila sistem imun menyerang badan sendiri, ia menyebabkan keradangan atau inflamasi.

 

“Keradangan yang berlaku ini boleh menyebabkan pelbagai gejala di mana ia bergantung kepada organ mana diserang. Contohnya, jika keradangan di sendi, ia boleh menyebabkan bengkak dan sakit pada sendi seseorang.

“Keradangan pada buah pinggang pula boleh menyebabkan gejala seperti kencing berbuih dan menyebabkan fungsi buah pinggang penghidapnya merosot dan mungkin memerlukan dialisis,” jelasnya.

Dr. Wan berkata, terdapat lebih daripada 100 jenis penyakit autoimun. Ada yang menyerang satu organ sahaja seperti tiroid dan ada yang boleh menyerang banyak organ serentak seperti penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Katanya, antara penyakit autoimun yang kerap berlaku adalah Rheumatoid Arthritis (RA). RA berlaku apabila sistem imun menyerang sendi sehingga menyebabkan rasa sakit, bengkak dan kekakuan terutama pada waktu pagi.

Keadaan ini menyebabkan pesakit sukar bangun pada waktu pagi.

Penyakit autoimun kronik iaitu SLE berlaku apabila sistem imun menyerang tisu dan menyebabkan keradangan meluas dan kerosakan tisu pada organ yang terjejas. Sistem imun juga boleh menyerang kulit, sendi, buah pinggang, darah dan lain-lain organ.

“Penyakit autoimun lain yang lazim berlaku seperti Psoriatic Arthritis iaitu radang sendi berkaitan penyakit kulit yang dikenali sebagai psoriasis. Psoriasis adalah pertumbuhan sel kulit yang terlalu cepat menyebabkan sel-sel mati terkumpul lalu membentuk tompok tebal, kering, gatal atau menyakitkan yang dilitupi sisik. Sekiranya menyerang tulang, ia mengakibatkan Ankylosing Spondylitis pula berlaku disebabkan keradangan di tulang belakang.

Pesakit akan mengalami sakit belakang dan kekakuan,” katanya.

Komplikasi dan kesan jangka panjang

Gejala awal penyakit autoimun bergantung pada jenis penyakit dialami. Antara gejala awal yang biasa adalah keletihan yang melampau, sakit dan bengkak pada sendi, demam ringan berulang tanpa sebab, ruam pada kulit dan rambut gugur yang lebih banyak daripada biasa.

“Jika simptom ini berlarutan atau semakin teruk, pemeriksaan lanjutan diperlukan untuk mengenal pasti puncanya. Perlu diingatkan, simptom ini tidak semestinya bermaksud seseorang menghidap penyakit autoimun kerana ia juga boleh berlaku dalam keadaan lain seperti jangkitan kuman, kekurangan vitamin atau gangguan hormon. Pemeriksaan oleh doktor serta ujian yang sesuai diperlukan untuk membuat diagnosis.

“Komplikasi penyakit autoimun bergantung kepada organ yang diserang dan sejauh mana keradangan dapat dikawal. Keradangan berpanjangan akan menyebabkan kerosakan pada organ, contohnya kerosakan sendi yang menyebabkan sendi menjadi cacat dan kerosakan buah pinggang sehingga tahap memerlukan rawatan dialisis,” katanya.

Jelasnya, penyakit autoimun yang tidak dirawat boleh memberikan kesan jangka panjang ke atas penghidapnya. Antara yang dibimbangkan adalah kerosakan organ dan peningkatan risiko jangkitan akibat penyakit atau ubat yang digunakan untuk mengawal sistem imun.

Apa yang melegakan kebanyakan penyakit autoimun tidak menyebabkan kematian jika dikesan awal dan dirawat dengan baik. Namun, jika menjadi sangat aktif atau menyerang organ penting seperti buah pinggang, paru-paru, jantung atau otak atau jika berlaku komplikasi seperti jangkitan serius, ia boleh mengancam nyawa.
Bukan penyakit keturunan

Penyakit autoimun bukan penyakit keturunan secara langsung tetapi faktor genetik boleh meningkatkan risiko mengalaminya. Maksudnya, bukan semua orang yang mempunyai ahli keluarga dengan penyakit autoimun akan mendapat penyakit ini, dan bukan semua pesakit akan mewariskannya kepada anak-anak mereka.

“Golongan berisiko mengalami penyakit autoimun adalah wanita, terutama berumur 20 hingga 50 tahun. Risiko lain seperti mempunyai ahli keluarga dengan penyakit autoimun, individu yang mempunyai penyakit autoimun lain. Sebagai contoh, seseorang dengan penyakit autoimun tiroid mempunyai lebih risiko untuk mendapat penyakit autoimun lain.

“Faktor persekitaran seperti jangkitan kuman, merokok dan tekanan (Stres) boleh menjadi pencetus kepada individu yang mempunyai kecenderungan genetik. Perubahan hormon juga boleh memainkan peranan mencetus penyakit autoimun, “ katanya.

Penyakit autoimun adalah penyakit kronik iaitu penyakit yang biasanya berpanjangan dan memerlukan rawatan serta pemantauan berkala. Walaupun penyakit autoimun tidak dapat disembuhkan sepenuhnya pada masa ini, rawatan moden sangat berkesan untuk mengawal penyakit.

“Jika dikawal dengan baik, ramai pesakit boleh menjalani kehidupan normal, bekerja, berkeluarga dan melakukan aktiviti harian seperti biasa. Rawatan perlu bagi imun yang terlalu aktif, melegakan gejala dan mencegah kerosakan sendi atau organ.

“Rawatan diperlukan termasuk ubat tahan sakit dan ubat antiradang untuk mengurangkan sakit dan bengkak. Ubat steroid diperlukan untuk mengawal keradangan dengan cepat. Selain itu, ubat pengubah penyakit (DMARDs) seperti methotrexate, sulfasalazine atau hydroxychloroquine diperlukan untuk mengawal penyakit dalam jangka masa panjang,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya penyakit tidak terkawal dengan rawatan biasa, ubat biologik atau terapi sasaran diperlukan. Pesakit yang mengalami kesakitan sendi juga memerlukan rawatan fisioterapi dan senaman untuk mengekalkan kekuatan otot dan pergerakan sendi.

Rawatan penyakit autoimun bergantung kepada jenis penyakit dan tahap keterukannya. Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan keradangan, mengawal sistem imun terlalu aktif, melegakan gejala dan mencegah kerosakan sendi atau organ.

Adakah penyakit autoimun ini boleh dicegah? Malangnya, tiada cara terbukti dapat mencegah penyakit autoimun sepenuhnya kerana puncanya membabitkan gabungan faktor genetik dan persekitaran. Namun, mengamalkan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, mengamalkan pemakanan seimbang dan tidur mencukupi boleh membantu mengurangkan risiko atau mengelakkan penyakit menjadi lebih teruk. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini