Dua nelayan diselamatkan selepas lima hari terapung di laut - Utusan Malaysia

Dua nelayan diselamatkan selepas lima hari terapung di laut

DUA nelayan yang berlindung di dalam sebuah kotak penyejuk berjaya diselamatkan. - KEMENTERIAN TENTERA LAUT MEXICO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR RAYA MEXICO: Dua nelayan berjaya diselamatkan selepas menggunakan sebuah kotak penyejuk sebagai ‘pelampung’ untuk bertahan selama lima hari di laut, kira-kira 241 kilometer (km) dari pantai Me­xico.

Kedua-dua nelayan berusia 53 dan 32 tahun itu kali terakhir berhubung dengan sebuah koperasi nelayan mereka pada 14 Ogos ketika berada di atas bot Camaronera.

Selepas gagal menghubungi mereka, kakitangan koperasi berkenaan membuat panggilan kecemasan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tentera Laut Mexico kemudian mengerahkan aset laut dan udara untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Kawasan pencarian yang luas membolehkan pasukan penyelamat menemui kedua-dua lelaki itu terapung di Lautan Pasifik dari pantai Chiapas, negeri di selatan Mexico yang bersempadan dengan Guatemala.

Gambar yang dikongsi Sekretariat Tentera Laut Mexico menunjukkan kedua-dua nelayan itu duduk di dalam sebuah kotak penyejuk berwarna biru. 

Rakaman video pula menun­jukkan kotak berkenaan terumbang-ambing di permukaan laut ketika sebuah kapal rondaan laut tentera menghampiri mereka.

Kedua-dua nelayan itu dilaporkan menjalani pemeriksaan perubatan selepas dise­lamatkan. Mereka kemudian diterbangkan ke pelabuhan untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disatukan semula dengan keluarga masing-masing selepas menjalani pemeriksaan perubatan, kata pihak berkuasa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN